KUALA LUMPUR – Kemenangan Umno di Nenggiri adalah hadiah paling mahal dan wajar diraikan dengan gemilang pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 yang bermula Rabu ini, kata Datuk Puad Zarkashi.
Beliau yang juga ahli MKT Umno malah menjangkakan ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka tertumpu kepada pemulihan keyakinan rakyat pada Umno ekoran kejayaan di Nenggiri.
“Umno berhak meraikan kemenangan di Nenggiri ketika PAU yang bermula Rabu ini. Ia hadiah paling mahal diberikan oleh Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani
(Awie) dan Umno Kelantan kepada PAU 2024.
“Dewan Merdeka pasti gegak gempita meraikannya. Ucapan dasar Presiden dijangka tertumpu kepada pemulihan keyakinan rakyat pada Umno ekoran kejayaan di Nenggiri. DUN Mahkota medan kedua,” kata Speaker DUN Johor itu.
Menurut Puad lagi, sebelum ini reputasi Umno terjejas teruk kerana tohmahan oleh bekas pemimpin Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainudin dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pemimpin utama Umno.
“Sudah tentu rakyat mudah percaya. Ia beri kesan buruk terhadap Umno pada PRU 14 dan PRU 15. Kini ia reda dan mula ditolak bila banyak fitnah terdedah.
“Justeru, “Top 5 Umno” mesti turun sendiri ke bawah untuk kembalikan keyakinan dan sokongan masyarakat Melayu balik kepada Umno.
“Imej dan reputasi pemimpin “Top 5 Umno” secara lansung jadi imej dan reputasi Umno keseluruhannya. Bila orang Melayu yakin pada pemimpin Top 5 Umno imej parti kembali pulih.
“Justeru “Top 5 Umno” mesti berhati-hati jaga imej dan reputasi Umno. Ia wajar jadi usul di PAU 2024,” saran Puad.