KUALA LUMPUR – Proses rakaman percakapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan kepada esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, rakaman percakapan Muhyiddin akan dilakukan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 11 pagi.
“Peguam beliau (Muhyiddin) maklum untuk ditangguhkan (rakaman percakapan) esok pukul 11 pagi kerana dia masih berada di Thailand,” katanya pada Selasa.
Terdahulu, media melaporkan pihak polis akan merakam keterangan Ahli Parlimen Pagoh berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, diraja), hari ini.
Setakat semalam, polis menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu, lapor Harian Metro.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Semalam, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.