KUALA LUMPUR – ADUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak yakin Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan mendedahkan nama 115 Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya, kerana takut hilang jawatan.
Kata bekas Menteri Kabinet itu lagi, jumlah 115 ahli Parlimen yang didakwa kononnya menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-10 (PMX) hanyalah andaian Presiden Bersatu itu sahaja.
“Saya yakin Muhyiddin tidak akan dedah nama kesemua 115 Ahli Parlimen saperti mana yang dicabar oleh (Datuk) Puad Zakarshi.
“Ini adalah sebab beliau tidak mempunyai sokongan seramai itu dan hanya membuat andaian sendiri sahaja,” kata Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan di Facebooknya pada Selasa.
Semalam Puad mencabar Muhyiddin untuk mendedahkan nama 115 ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 (PMX) lepas Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) lalu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu menuntut Muhyiddin mengemukakan ‘fakta’ kononnya beliau mempunyai majoriti pada ketika itu.
Mengulas lanjut, Salleh malah mendakwa jika Muhyiddin cuba dedahkan nama 115 Ahli Parlimen tersebut, beliau akan hilang kredibiliti sebagai seorang pemimpin.
“Ini apabila sebilangan ahli-ahli Parlimen tidak mahu mengesahkan.
“Maka pihak Perikatan Nasional (PN) akan tolak beliau dari jawatan Pengerusi Perikatan Nasional untuk diganti dengan seorang pemimpin yang mempunyai kredibiliti dan bijak,” jangka beliau.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sebelum ini dilaporkan dalam video TikTok tular yang menunjukkan Ahli Parlimen Pagoh itu seolah-olah mempersoalkan keputusan Agong sebelum ini untuk melantik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas PRU ke-15.