KUALA LUMPUR- Kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) di DUN Nenggiri akan diraikan gilang-gemilang pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 yang akan bermula Rabu ini.
Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar malah dapat membayangkan sorakan dan keriuhan pimpinan, perwakilan dan ahli-ahli Umno di Dewan Merdeka akan menggamatkan suasana sehingga ‘terangkat’ bumbung.
“Dengan keputusan Pilihan Raya Kecil ini Dewan Merdeka akan jadi dewan paling hot, happening minggu ini, sorakan dalam dewan itu akan ‘mengangkat bumbung’ dewan tersebut.
“Jadi tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebab Presiden Umno telah pun mencapai apa yang dia nak iaitu satu mukadimah kepada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 yang akan bermula pada Rabu.
“It’s gonna be wild. Whoa, whoa Umno terus mara untuk rakyat Malaysia dia akan jerit, saya harap kamu (Shahril) ada di sana,” usik Khairy.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, kemenangan bermaruah calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani di Nenggiri didorong oleh beberapa faktor.
Mohd Azmawi memperoleh 9,091 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti 3,352 undi, dalam pertembungan satu lawan satu.
“Nasihat Tengku Razaleigh Hamzah selaku pengarah pilihan raya bahawa tak ada keperluan DAP, MCA datang berkempen Nenggiri adalah taktikal terbaik.
“Selain itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan sayap pemuda juga mainkan peranan baik kerana calon Pemuda Umno.
“Tanpa komponen PH di sana pengundi hanya fikir ini calon Umno, maka mereka beri sokongan,” katanya.