Keselamatan komuniti tanggungjawab bersama – Che Roslan

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KAJANG – Program Jom Ronda merupakan amat penting di peringkat komuniti Rukun Tetangga (RT) dalam usaha membantu kerajaan memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian hidup dalam kawasan kejiranan.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Dato’ Hj. Che Roslan Che Daud berkata demikian pada Program Jom Ronda sempena pelancaran Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kasih.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof; Pengarah JPNIN Selangor, Burhanuddin Hj. Daud, dan Pengerusi KRT Taman Kasih, Md Din Mat Lail.

Che Roslan berkata, menjadi tanggungjawab kita bersama menjaga keselamatan dan ketenteraman kawasan kejiranan masing-masing dengan berpegang kepada prinsip ‘Keselamatan Komuniti Adalah Tanggungjawab Bersama’.

“Selaras dengan fungsi dan tugas Jawatankuasa KRT di bawah Seksyen 8 Akta Rukun Tetangga 2012 iaitu ‘mengambil apa-apa langkah yang perlu atau wajar untuk membolehkan pemastautin melindungi diri mereka terhadap apa-apa aktiviti jenayah atau bencana’.

“SRS telah dilancarkan pada 21 Februari 2004 untuk membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di komuniti setempat.

“Sehingga Jun lalu sebanyak 5,409 SRS telah ditubuhkan di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 100,000 orang dan sehingga kini, sebanyak 56 buah KRT dan 30 SRS telah ditubuhkan di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

”Walaupun jumlah ini kecil berbanding di negeri-negeri lain, pihaknya menekankan tentang keaktifan dan keberkesanannya dalam komuniti masing- masing.

“Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui JPNIN telah merangka hala tuju baharu iaitu ‘Meremajakan SRS ’ sebagai entiti yang penting di peringkat komuniti bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan ketahanan komuniti.

“Antaranya meningkatkan keberkesanan SRS melalui penggunaan aplikasi teknologi moden dalam menjalankan tugas kawalan dan rondaan serta menambahbaik kualiti peralatan SRS.

“Selain itu, ‘Kempen 1 Keluarga 1 Anggota SRS’ bagi memupuk budaya kesukarelawanan dalam kalangan komuniti melalui aktiviti keselamatan kejiranan,” katanya.

Menurutnya lagi, pada 14 Mei lalu, KPN melalui JPNIN telah melancarkan inisiatif pemerkasaan RT sebagai penggerak komuniti progresif .

“Peranan RT akan diperkasa sebagai penggerak utama dan penghubung jalin (bridge builder) penting dalam komuniti melalui peningkatan keupayaan dan struktur pentadbiran yang kukuh serta kerjasama strategik semua pihak bagi merealisasikan aspirasi komuniti progresif.

“RT Progresif ini dijangka akan memacu kecemerlangan dalam khidmat komuniti dan kerja kemasyarakatan melalui lapan bidang tumpuan yang merangkumi ekonomi dan sara hidup , keselamatan dan ketahanan komuniti serta kepimpinan.

“Selain itu, kesejahteraan komuniti , pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan dan budaya serta daya cipta.

“Melalui inisiatif pemerkasaan ini, peranan SRS di bawah bidang tumpuan kedua iaitu keselamatan dan ketahanan komuniti turut diperkukuhkan.

“KPN telah menyediakan peruntukan khas kepada SRS berjumlah RM 3,244,192 melalui pembekalan dan penggantian fasiliti keselamatan SRS dengan anggaran peruntukan sebanyak RM 837,500 yang memberi manfaat kepada 119 buah RT.

“Manakala RM 2,175,00 untuk pembekalan 69 buah kabin SRS baharu dan RM 231,692 untuk pembaikan kabin sedia ada di 18 buah kawasan SRS bagi meningkatkan keaktifan dan keberkesanan SRS dalam komuniti.

“Melalui pemerkasaan SRS ini, kementerian turut mensasarkan agar kekerapan aktiviti kawalan dan rondaan SRS dapat dipertingkatkan lagi termasuk penglibatan golongan muda dalam SRS,” ujarnya lagi.

Tambahnya, kerajaan akan menyediakan insentif Skim Insurans Kemalangan Diri Berkelompok bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan ahli yang terdedah pelbagai risiko, serta penghargaan kepada khidmat bakti AJK RT, anggota SRS dan, Mediator Komuniti (MK).

“Skim ini menawarkan perlindungan 24 jam di seluruh dunia dengan pampasan untuk kematian, kecacatan, perbelanjaan perubatan akibat kemalangan atau penyakit seperti denggi, malaria, dan chikungunya.

“Selain itu, elaun hospital, bantuan Covid-19, dan khairat kematian serta pampasan yang merangkumi perbelanjaan alat ganti anggota badan palsu dan kerusi roda,” katanya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat