KUALA LUMPUR: Sejajar dengan pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan jemaah menteri yang baharu nanti, empat kementerian perlu disandang oleh Menteri yang baharu, kata Ahli Parlimen Bangi (DAP), Dr Ong Kian Ming.
Memetik laporan Astro Awani, empat kementerian tersebut ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Jelasnya lagi, pelantikan empat menteri baharu di kementerian tersebut amat penting bagi membawa negara pulih akibat pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.
“Pertama, Kementerian Kesihatan. Saya rasa sebulat suara kita perlukan Menteri Kesihatan yang baharu, yang berprestasi jauh lebih baik.
“Nombor dua, saya rasa, Menteri Kewangan adalah seorang yang memainkan peranan cukup penting. Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz telah memainkan peranan yang cukup penting.
“Tetapi sekarang kita perlukan seorang yang mempunyai ‘big picture’, berani tampil ke hadapan untuk belanja duit dengan betul.
“Ketiga adalah Menteri Pendidikan. Kerana, sudah hampir dua tahun anak-anak kita tak pergi ke sekolah secara bersemuka. Jadi, perlu ada banyak perancangan untuk memberikan pelajar peluang untuk ‘catch up’,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Selain itu, kata Ong, perlu seorang menteri baru yang menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Walaupun sekarang mendapat tekanan yang besar dan imej juga telah diburukkan akibat beberapa perkara yang dilakukan, tidak semuanya salah mereka.
“Mungkin ada persefahaman yang tidak begitu baik antara kabinet.
“Jadi, saya harap juga di MITI ada seorang yang baharu untuk memperkasakan imej dan menyelamatkan industri kita daripada apa yang telah berlaku sebelum ini,” tambahnya.
Beliau menyedari mungkin orang lain ada pendapat yang berbeza, tetapi menurutnya, yang tersebut adalah empat tonggak penting kerajaan yang memerlukan kepimpinan yang teguh serta visi menyelamatkan negara.” katanya dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar pada Khamis.