KOTA TINGGI: Hari kedua Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) susulan insiden pelanggaran kapal MT Hanifa Nile dan MT Ceres 1 di 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau, dekat sini, pagi semalam menimbulkan misteri baharu.
Operasi hari kedua bagi tindakan menyelamat kru kapal MT CERES 1 hari ini diteruskan,
namun kapal berkenaan didapati telah meninggalkan kawasan perlanggaran dengan menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS).
Maklumat dan semakan MRSC Johor Bahru bersama Jabatan Laut Malaysia turut mendapati no pendaftaran IMO kapal berkenaan meragukan dan tindakan kapal berkenaan meninggalkan kawasan insiden juga diragui.
Maritim Malaysia kini dalam usaha menjejaki kapal berkenaan dengan mengatur gerak pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP Maritim Malaysia pada jam 12 tengahari tadi
bagi tujuan penyelamatan dan siasatan.
Semalam Kapal MT HAFNIA NILE yang berdaftar di Singapura telah dilaporkan berlanggar dengan MT CERES 1 berdaftar di Republik Demokratik São Tomé dan Príncipe serta mengakibatkan MT HAFNIA NILE terbakar di posisi 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau dalam Perairan Wilayah Malaysia serta Wilayah Mencari Dan Menyelamat Malaysia (MSRR).
Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim, Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman bin Mad Yunus berkata, selain menggerakkan aset ke sektor pencarian, Maritim Malaysia akan mengatur gerak Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi bersiap sedia untuk menyelamat mangsa yang dipercayai masih berada di atas MT CERES 1.
“Setakat ini, Maritim Malaysia tidak dapat memastikan keadaan sebenar kapal beserta kru MT CERES 1 memandangkan ianya tidak dapat dihubungi,” kata beliau dalam satu sidang media yang diadakan di Zon Maritim Tanjung Sedili hari ini.
Turut hadir sama Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kepten Kama Azri bin Kamil dan Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib bin Sam.
Laksamana Pertama Maritim Zin Azman dalam pada itu turut memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan turut serta bagi melaksanakan pemantauan tumpahan minyak di lokasi insiden.
Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut bersiap sedia menyalurkan bantuan sekiranya keadaan memerlukan.
Maritim Negeri Johor menerusi MRSC Johor Bahru telah mengkoordinasikan Carilamat
dengan penglibatan Kapal Maritim (KM) NIAH , Bot PERKASA 29 bot PETIR 12 dari Maritim Malaysia, KD GEMPITA dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot ronda PA 9 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 dengan jumlah keseluruhan anggota terlibat melebihi 100 orang bagi melaksanakan Carilamat tersebut.