Konsert Search ‘Fantasia Bulan Salju’ Di Genting Highlands Ogos Ini

- Advertisement -

Search bakal mengadakan “Konsert Fantasia Bulan Salju” yang dijadualkan akan berlangsung pada 12 Ogos 2023 bertempat di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Search yang dianggotai oleh Amy, Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal itu percaya peminat mereka masih dahagakan persembahan berskala besar seumpama konsert dan menariknya kali ini bakal diadakan di lokasi peranginan tanah tinggi Genting Highlands.

Menerusi satu kenyataan media Amy selaku vokalis berkata “’Fantasia Bulan Salju’ bukan konsert biasa yang diadakan sekadar untuk memenuhi permintaan. Ia adalah bukti bahawa setelah empat dekad Search lalui segala pahit manis serta cabaran hebat industri muzik. Karier Search terus kukuh dan kami kekal relevan.

“Satu lagi keunikan konsert ‘Fantasia Bulan Salju’ pada Ogos ini adalah venue konsert itu sendiri. Bertempat di pusat pelancongan tanah tinggi negara yang amat popular iaitu Resorts World Genting. Peminat Search bukan sahaja dapat menonton konsert dalam kenyamanan cuaca dingin semula jadi. Malahan Arena of Stars juga menjadi pilihan begitu ramai artis-artis dari serata dunia”, ujarnya

Kumpulan rock legenda Malaysia ini seringkali menekankan bahawa kejayaan sesuatu konsert itu bergantung kepada pelbagai faktor, antaranya seperti keselesaan, kualiti peralatan bunyi dan visual, keselamatan, harga tiket yang berpatutan, gaya di atas pentas, dan lain-lain lagi.

Arena of Stars, Resorts World Genting mempunyai kapasiti sehingga 5,000 orang. Ia dilengkapi dengan ciri-ciri concert hall terbaik setaraf dengan dewan konsert lain di Asia. Selain acara malam anugerah, dewan berprestij ini tersebut jarang sekali menyaksikan penganjuran sebuah konsert solo artis tempatan secara besar- besaran.

Untuk info Search mencatat rekod sebagai artis pertama mengadakan konsert solo di Zepp KL tahun lepas dengan konsert Endemik.  Search sekali lagi melakar sejarah menjadi artis tempatan pertama dibawa oleh MIC Entertainment Group untuk mengadakan konsert solo di Arena of Stars.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 80an sehinggalah ke hari ini, Search tidak putus-putus diberi kepercayaan oleh penganjur acara bertaraf antarabangsa untuk menghiburkan para peminat kami di rantau ini. Tanggungjawab ini sungguh berat, lebih-lebih pada masa kini di mana peminat muzik lebih sofistikated”, jelas Nasir yang juga merupakan di antara anggota kumpulan Search yang terawal.

“Namun demi legasi dan peminat-peminat samada yang lama mahupun dari generasi baru, kami berempat tidak jemu untuk terus berkarya. Setiap konsert kami mempunyai keunikan tersendiri serta berbeza dari konsert yang sebelumnya. Konsert ‘Fantasia Bulan Salju’ juga tidak terkecuali. Nama konsert ini diambil dari salah satu lagu paling popular Search iaitu ‘Fantasia Bulan Madu’,” tambahnya.

Tiket konsert “Fantasia Bulan Salju” telah mula dijual sejak 16 Mei lalu. Harga tiket bermula dari RM128.00 sehinggalah RM388.00 (VIP Fantasia) tidak termasuk caj untuk pemprosesan. Pemegang tiket VIP berpeluang menghadiri sesi ‘Meet & Greet’  dan dapat membawa pulang poster yang ditandatangani sendiri oleh Search.

Peminat yang ingin membeli tiket menerusi rwgenting.com dan my.bookmyshow.com untuk maklumat lanjut berkenaan cara cara pembelian tiket.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat