KUALA LUMPUR – Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa pada 1 Julai depan.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan penegasan itu dibuat susulan kenyataan MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) yang membangkitkan kebimbangan berhubung kesan cukai jualan ke atas gula mentah terhadap harga pasaran.
Menurutnya, Kerajaan Madani mengambil pendekatan bersasar dengan tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan utama rakyat seperti gula, garam, ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran, minyak masak dan beras bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan pelaksanaan semula SST.
“Gula mentah yang digunakan dalam pengeluaran gula halus akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus.
“Namun, pengilang seperti MSM layak memohon pengecualian cukai atas bahan mentah dan input mereka,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Kenyataan MOF dikeluarkan susulan kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan kenaikan harga gula susulan pelaksanaan semakan SST.
Namun, MOF menjelaskan kerajaan memberi jaminan langkah-langkah bersesuaian telah diambil bagi mengelakkan kesan kepada pengguna.
Dalam pada itu, MOF menjelaskan disebabkan MSM layak memohon pengecualian, tiada sebab untuk berlakunya sebarang kenaikan harga gula putih, memandangkan pengilang turut menerima insentif bulanan daripada kerajaan bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga di pasaran.
Katanya, pengecualian cukai itu boleh dipohon menerusi Jabatan Kastam Diraja Malaysia, seperti diperuntukkan di bawah Butiran 1, Lajur (2), Jadual B dalam Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan daripada Pembayaran Cukai).