KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana mengambil kira pendapatan rakyat yang masih di tahap rendah.
Menteri Kewangan itu berkata, walaupun sistem GST adalah telus dan efisyen, tetapi ia mengenakan cukai secara menyeluruh yang akan menyusahkan rakyat bawahan.
Berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), beliau menjelaskan, sistem cukai itu lebih bersasar dan hanya mengenakan cukai kepada barangan tertentu, khususnya barangan import mewah atau buah-buahan import.
“Ketika saya Menteri Kewangan dahulu, saya masih ingat jawapan saya di Parlimen, GST itu adalah antara sistem percukaian yang efisyen dan telus. Tetapi saya terpaksa tangguhkan kerana nilai ambang pendapatan rakyat ketika itu terlalu rendah.
“Orang yang pendapatan RM2,000, walaupun kita bagi beberapa pengecualian, tetapi banyak yang terkena (cukai). Memang beli gula, beras tak kena cukai, namun dia pergi beli barang lain, naik bas, semua itu secara tidak langsung kena cukai GST.
“GST itu menyeluruh, telus (memang) senang pelaksanaannya, tetapi saya kata, biarlah pendapatan rakyat naik dahulu. Katalah gaji minimum RM4,000, mungkin masa itu kita kata boleh. Sekarang Ini orang masih ada gaji RM1,700 atau RM2,000 pun ada.
“Mungkin saya tidak bijak dalam membuat keputusan ini, tetapi niat saya tidak mahu memperkenalkan cukai yang memberi kesan dan menyusahkan rakyat bawahan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan, di Putrajaya lapor Utusan pada Jumaat.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, jika mana-mana pihak ada cadangan lebih baik untuk pelaksanaan cukai, makai a boleh dibincangkan secara baik, namun tidak boleh mengutuk sistem cukai SST yang diperkenalkan secara progresif.
Sebagai contoh, katanya, tindakan mengenakan cukai kepada buah-buahan import yang turut menjadi isu besar ketika ini, pada hakikatnya ia secara tidak langsung memberi peluang kepada petani tempatan untuk mengeluarkan buah-buahan tempatan lebih banyak.
“Dalam beberapa kunjungan saya ke luar negara, contohnya Laos, Vietnam, Thailand, saya belum pernah makan dalam upacara rasmi jemputan kerajaan-kerajaan ini disediakan makanan import.
“Mereka memastikan makanan tempatan (disediakan). Sebab itu kita bagi arahan seluruh jabatan kerajaan kita tidak ada bahan import disediakan,” katanya.