Meski peroleh DNAA, Najib perlu teruskan hukuman lain di Penjara Kajang – peguam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu meneruskan hukuman di Penjara Kajang meskipun dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) tiga pertuduhan membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ini kerana Najib masih mempunyai hukuman pemenjaraan kes lain atas tujuh pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, hampir empat tahun lalu.

“Dalam kes ini dibebaskan, tapi oleh sebab dia ada hukuman penjara yang lain, dia bebas tapi balik ke penjara,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, lapor MalaysiaGazette pada Jumaat.

Terdahulu Najib dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, terhadap tiga pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim, K Muniandy memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan walaupun selepas 6 tahun pertuduhan dikemukakan.

Hakim berkata, kes itu tergantung di mahkamah sejak 2019 dan sehingga kini belum satu pun keterangan saksi dikemukakan.

Ketika ditanya tentang reaksi Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikannya DNAA, Shafee berkata, beliau sangat gembira dengan keputusan itu yang dinantikan sejak enam tahun lalu.

“Datuk Seri Najib sangat gembira dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan kes ini tergantung beberapa kali dan beliau pernah minta DNAA ini sebelum ini.

“Sekarang Datuk Seri Najib boleh tumpu sepenuhnya kepada kes 1MDB,” katanya lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat