KUALA LUMPUR – Penjawat awam hari ini bukan lagi “kerani kerajaan” semata-mata namun ramai antara mereka profesional, berkelulusan tinggi dan punya keprihatinan terhadap dasar negara.
Naib Presiden Pas Idris Ahmad mengingatkan Kerajaan Madani bahawa penjawat awam bukan musuh kerajaan sebaliknya mereka adalah aset negara.
“Kenyataan ini juga memberi imej negatif kepada kerajaan, seolah-olah cuba mengawal naratif dan menutup mulut mereka yang tidak sehaluan.
“Ya, benar , peraturan tatatertib ini telah lama wujud, sejak zaman pentadbiran terdahulu. Tetapi apabila Kerajaan Madani memilih untuk menggembar-gemburkan perkara ini semula, ia membuktikan bahawa mereka bukan pembawa reformasi, tetapi pewaris ketakutan.
“Reformasi yang sebenar bukan mengulangi dasar lama, tetapi menyemak semula dasar yang tidak lagi relevan dengan zaman keterbukaan hari ini.
“Mengapa perlu digembar-gemburkan semula seolah-olah satu arahan baru? Adakah kerajaan sedang terasa tergugat dengan suara-suara penjawat awam yang semakin lantang menegur kelemahan pentadbiran?
“Jika benar kerajaan yakin dengan dasar mereka, apa perlunya takut kepada pandangan dalaman? Bukankah itu tanda sistem yang sihat? soal Idris dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, dalam suasana ekonomi yang mencabar dan isu kebajikan rakyat yang belum selesai, fokus sepatutnya kepada penambahbaikan dasar bukan ugutan terhadap kakitangan awam.
“Kalau benar Madani mahu membawa perubahan, buktikan dengan dasar, bukan sekadar menyambung peraturan lama yang membungkam suara kebenaran.
“Kerajaan Madani seharusnya memperkukuh ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban bukannya meneruskan budaya takut yang diwarisi sejak dahulu.
“Pepatah ada menyebut:“Kamu boleh paksa kuda pergi ke air, tetapi kamu tidak boleh paksa kuda untuk minum.” Begitu juga dalam pentadbiran kamu boleh paksa orang diam, tetapi kamu tidak boleh paksa rakyat percaya.
“Kita akui, disiplin penjawat awam penting. Tetapi jangan disamakan teguran membina demi negara dengan kenyataan bersifat sabotaj atau fitnah,” tegur beliau lagi.
Terdahulu, pegawai awam dilarang membuat pernyataan awam tanpa kebenaran bertulis, termasuk memuji atau mengkritik dasar dan keputusan kerajaan, berdasarkan Surat Edaran KPPA bertarikh 19 Jun 2025.
Larangan merangkumi sebarang bentuk ulasan atau penyebaran maklumat yang boleh memudaratkan, memalukan atau memburukkan kerajaan, selaras dengan Subperaturan 19(1) dan 19(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993.
Tindakan tatatertib termasuk buang kerja boleh dikenakan jika pegawai melanggar larangan tersebut; Ketua Jabatan diminta pastikan kawalan komunikasi awam dipatuhi di jabatan masing-masing.