KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil menjelaskan kekeliruan berhubung syarat simpanan minimum RM15,000 untuk menerima tawaran haji yang menurutnya sering disalah faham oleh orang ramai.
Menerusi satu video penerangan yang dimuat naik di akaun media sosial beliau, Tengku Zafrul berkata ramai beranggapan pendaftaran haji dengan simpanan minimum RM1,300 sudah memadai untuk membolehkan seseorang menerima tawaran menunaikan ibadah itu.
Menurut beliau, pendaftaran haji dan kelayakan menerima tawaran haji adalah dua perkara berbeza.
“Daftar haji maksudnya kita masuk dalam sistem giliran. Tapi bila giliran semakin dekat, Tabung Haji perlu tengok satu lagi perkara, adakah kita benar-benar bersedia untuk pergi,” katanya.
Beliau menjelaskan, bagi musim haji 2026, Tabung Haji menetapkan simpanan minimum RM15,000 sebagai syarat untuk menerima tawaran haji.
Bagaimanapun katanya, syarat itu bukan dikenakan secara mengejut kerana bakal jemaah sudah dimaklumkan dua tahun lebih awal supaya menyediakan jumlah simpanan tersebut sebelum giliran mereka tiba.
“RM15,000 ini bukan caj tambahan. Untuk jemaah B40, RM15,000 itulah bayaran haji yang dikenakan,” katanya.
Menurut beliau, kos sebenar haji muassasah bagi musim 2026 ialah RM33,300 seorang, namun jemaah kategori B40 hanya perlu membayar RM15,000, manakala baki RM17,300 ditanggung oleh Tabung Haji selain tambahan bantuan RM1,000 daripada kerajaan.
Bagi kategori M40 pula, jemaah dikenakan bayaran RM23,500 dengan subsidi RM9,800 ditanggung Tabung Haji, sementara golongan T20 perlu membayar kos penuh.
Tengku Zafrul berkata, antara punca ramai tidak menerima tawaran haji walaupun sudah lama mendaftar ialah kerana giliran yang panjang selain simpanan tidak mencukupi ketika nama dipanggil.
“Sebelum ini ada bakal jemaah yang sudah sampai giliran tetapi simpanan tak cukup. Bila jadi macam itu, terlepaslah peluang nak pergi haji.
“Akhirnya tempat itu perlu diisi semula. Proses jadi lebih panjang dan orang lain pula terpaksa menunggu,” katanya.
Beliau menegaskan syarat RM15,000 bukan bertujuan menyusahkan bakal jemaah, sebaliknya memastikan mereka benar-benar bersedia apabila tawaran haji diberikan.
“Haji bukan hanya soal giliran. Haji soal kemampuan juga,” katanya.



