KUALA LUMPUR – Institusi Raja Melayu wujud lebih lama berbanding banyak parti politik yang hari ini sibuk mahu ajar rakyat soal Perlembagaan dan Rukun Negara.
Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata, apabila Sultan bersuara tentang keharmonian negeri, sensitiviti masyarakat dan perpaduan rakyat, orang yang matang akan faham bahawa itu adalah tanggungjawab moral dan agama seorang Raja.
“Tapi ada ahli politik yang terlalu lama hidup dalam budaya provokasi sampai semua perkara nak dijadikan debat politik.
“Semua benda mereka nak rempuh tunjuk juara hujah dengan kononnya teknikal undang-undang.
“Mereka lupa bahawa negara ini bukan berdiri atas undang-undang semata-mata. Negara ini juga berdiri atas budaya, sejarah, adab dan kesopanan,” katanya yang juga pengamal undang-undang.
Kata Rafique, ada yang kata mereka pertahan Perlembagaan bila pertikai titah dan pandangan Sultan.
“Mereka bercakap macam hanya mereka saja yang faham demokrasi dan constitutional monarch.
“Sebenarnya rakyat Malaysia sudah lama faham sistem negara ini. Kita ada Raja Berperlembagaan. Raja tidak perintah secara mutlak.
“Tapi Raja juga bukan sekadar simbol yang perlu ketika majlis rasmi dan upacara istiadat.
“Sebab itu Rukun Negara bukan hanya ada “Keluhuran Perlembagaan”. Ada juga “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”. Ada juga “Kesopanan dan Kesusilaan”.
“Malangnya, apabila terlalu ghairah mahu jadi jaguh politik, dua perkara ini selalu dilupakan.
“Orang tua-tua dulu ada ajar, “jangan jadi babi yang hanya tahu sondol ke depan tanpa perhati batas tanaman dan tak tengok kiri kanan.”Bila terlalu lama berkubang dengan benda kotor, akhirnya deria untuk jaga kebersihan juga hilang.
“Sama juga adab dan hormat juga akan hilang, bila lama gelumang dengan agenda politik semata,” ujar beliau.
Sehinggakan kata Rafique, sensitiviti masyarakat seluruh dan kepentingan kesihatan diketepikan
“Sebab itu ada orang tahu cakap tentang undang-undang, tapi masih gagal faham apa itu kesusilaan.
“Banyak ilmu tanpa adab, rosak akhirnya,” tegas Rafique.



