Untung PDC wajar diguna untuk pembangunan negeri bukan bagi bonus 6 bulan gaji – Guan Eng

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memberikan bonus sehingga enam bulan gaji kepada kakitangannya awal tahun ini.

Adun DAP Air Putih itu berpandangan keuntungan yang diperoleh seharusnya digunakan untuk pembangunan negeri.

Katanya, bonus berjumlah keseluruhan RM6.7 juta itu mungkin dianggap munasabah sekiranya tidak menjadi bahan bualan dalam kalangan penjawat awam negeri lain.

Guan Eng berkata, timbul persoalan sama ada badan kerajaan negeri yang lain yang turut mencatat keuntungan tinggi akan menerima bonus pada kadar serupa.

“Mengikut angka yang diberikan, bonus yang dibayar berjumlah RM6.7 juta. Sekiranya ia diberikan secara munasabah, memang ini tidak menjadi satu perkara yang menjadi buah mulut dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri lain.

“Tetapi adakah ini akan dibayar kepada semua badan kerajaan negeri yang dapat keuntungan sedemikian seperti Perbadanan Bukit Bendera dan sebagainya. Jadi kita ingin tahu siapakah yang dapat bonus sebanyak enam bulan ini?” katanya lapor BH di Georgetown pada Selasa.

Membahaskan usul pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini, Guan Eng mengakui sebagai agensi kerajaan negeri bertanggungjawab atas bank tanah di negeri berkenaan, PDC sememangnya berpeluang meraih lebihan hasil atau keuntungan tinggi.

“Namun, ia harus digunakan untuk pembangunan dan sekiranya ini menjadi tanda tanya, saya rasa penjelasan harus diberikan, apa sebab dan asas pembayaran begitu tinggi sehingga enam bulan bonus,” katanya.

Media pada 9 Februari lalu melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif PDC Datuk Aziz Bakar berkata, 396 kakitangan akan menerima bonus antara satu hingga enam bulan berdasarkan prestasi masing-masing.

Ia berikutan keuntungan lebih RM500 juta direkodkan PDC bagi 2024, kadar tertinggi dalam sejarah penubuhan agensi itu dengan kira-kira 10 peratus kakitangan akan menerima bonus bersamaan enam bulan gaji.

Guan Eng turut mengkritik PDC berhubung kelewatan bertahun-tahun dalam kerja pelebaran dan naik taraf Jalan Tok Kangar di Juru, yang telah lama menimbulkan rungutan penduduk tempatan selain kerap berlaku kemalangan maut di jalan terbabit.

Selain mempersoalkan mengapa projek itu berdepan kelewatan yang lama dengan tarikh siap projek dijangka ditunda kepada tahun depan, beliau juga bertanya berapa banyak kos tambahan yang perlu ditanggung akibat kelewatan itu.

“Memandangkan projek ini di bawah PDC, kita harap penjelasan menyeluruh diberikan. Apa tindakan, adakah berlaku mana-mana kecuaian dalam kalangan pegawai PDC atau dalam perkara pengurusan atau kawal selia ke atas kontraktor oleh pihak PDC,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat