PAPAR – Kerajaan bersedia memberi sebarang bantuan diperlukan bagi membawa jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, pulang ke tanah air.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Ali, berkata bantuan itu juga termasuk memenuhi hasrat keluarga Allahyarham supaya jenazahnya dapat dikebumikan di tempat asalnya, Benoni di sini.
Beliau turut mengucapkan takziah selepas mendengar berita mengenai pendaki program Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian di gunung tertinggi dunia itu, malam tadi.
“Di JPM, kita tahu Allahyarham seorang individu yang amat komited dengan aktiviti. Hasrat Allahyarham untuk menakluki Gunung Everest sejak sekian lama.
“Sebelum berangkat tahun lalu (pendakian Gunung Everest pertama), Allahyarham sempat bertemu dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan tahun ini sebelum berangkat ke Nepal, kumpulan mereka bertemu dengan Perdana Menteri.
“Setakat ini kita difahamkan urusan untuk membawa turun jenazah dari puncak Gunung Everest mengambil masa lebih kurang tiga hari,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan ADUN Kawang di Dewan SMK Pengalat Papar, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menerusi kedutaan Malaysia bekerjasama dengan pihak berkuasa di Nepal bagi urusan menurunkan jenazah Allahyarham.
“Insya Allah, sebaik jenazah diturunkan kita akan bantu untuk memenuhi hasrat daripada keluarga Allahyarham supaya jenazahnya dapat dikebumikan di kampungnya di Benoni,” katanya.
Awang Askandar disahkan meninggal pada jam 10.30 pagi tadi waktu Nepal (12.45 tengah hari waktu Malaysia) ketika sedang menerima rawatan lanjut di Kem 4.
Mengikut laporan media tempatan Nepal, Allahyarham adalah warga asing ke sembilan meninggal dunia bagi musim pendakian tahun ini.
Misi ME 2023 ini adalah percubaan kedua Allahyarham selepas tertangguh tahun lalu disebabkan faktor cuaca. – BH