KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mengemukakan tujuh prasyarat yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan jika ‘total lockdown’ dilaksanakan dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.
Prasyarat pertama ialah bantuan khas kepada rakyat dalam kalangan B40 terutamanya mereka yang tidak bergaji tetap, bekerja sendiri atau tiada punca pendapatan.
Kedua, kerajaan juga perlu membenarkan pengeluaran i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, kerajaan harus memanfaatkan Ordinan Darurat untuk mengarahkan institusi kewangan dan perbankan menawarkan moratorium 2.0 selama tiga hingga enam bulan tanpa caj atau faedah tambahan bagaikan penstrukturan.
Tambahnya, kilang-kilang besar yang menjadi penyumbang terbesar kepada pandemik (lebih 50% punca penularan virus Covid-19 mesti segera ditutup selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu.
Sebaliknya hanya frontliners dan pekerja e-hailing yang menghantar pesanan makanan dan barang-barang keperluan sahaja dibenarkan bertugas dan beroperasi.
Manakala rentas daerah mahupun negeri tidak dibenarkan sama sekali.
Prasyarat terakhir ialah sebagaimana PKP 1.0, semua sektor perlu ditutup melainkan hanya sektor-sektor yang menjadi penggerak negara dikecualikan PKP seperti, air, elektrik, tenaga, komunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.
Menurut beliau, berdasarkan maklumbalas orang ramai, rata-rata setuju dengan gesaan Pemuda UMNO supaya dibuat ‘total lockdown’ sebagaimana PKP 1.0 selama sekurang-kurangnya 14 hingga 21 hari dengan tujuh prasyarat tersebut.
Tegas Asyaraf, prinsip paling penting semasa pelaksanaan total lockdown itu ialah lebih baik sengsara sekali berbanding merana berulang-ulang kali dan berpanjangan yang lebih memudaratkan rakyat dan negara.
Beliau turut menekan jangan ada lagi dwi-standard dalam aspek penguatkuasaan mahupun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan PKP hingga wujud perbezaan tindakan terhadap golongan ‘kayangan’ dengan ‘marhean’. – MalaysiaGazette