CYBERJAYA – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kakitangannya susulan kontroversi melibatkan komen beliau terhadap aduan seragam kerja yang koyak, yang sebelum ini tular di media sosial.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan syarikat itu malam ini, Brewer mengakui pendekatan beliau dalam memberikan maklum balas sebelum ini kurang sensitif, serta menegaskan komitmen untuk menambah baik budaya kerja yang lebih inklusif dan menghormati warga syarikat.
“Dengan penuh ikhlas, kami ingin mengakui dan menangani isu yang dibangkitkan melalui hantaran di media sosial baru-baru ini, yang merujuk kepada isu dalaman pada 19 Mac 2025 melibatkan pakaian seragam yang rosak,” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, pihak pengurusan menjelaskan bahawa tindakan segera telah diambil termasuk berhubung terus dengan kakitangan yang terlibat, dan menyatakan isu itu kini dianggap selesai.
“Kami telah mengambil tindakan segera dengan berkomunikasi secara langsung dengan kakitangan yang terlibat, dan isu ini telah berjaya diselesaikan sepenuhnya.”
Brewer juga dilaporkan memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataannya terdahulu, yang dianggap segelintir sebagai tidak peka terhadap kebajikan pekerja.
“Brewer juga memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataan beliau sebelum ini.”
“Brewer dengan jujur mengakui maklum balas beliau seharusnya lebih berempati, dan dengan tekad yang kuat, berjanji untuk terus membina budaya kerja yang saling menghormati serta menyokong semua warga Pos Wira.”
Pos Malaysia turut memaklumkan bahawa proses dalaman berkaitan penggantian pakaian seragam kini sedang ditambah baik bagi memastikan kecekapan yang lebih tinggi dalam menjaga keperluan asas pekerja.
“Komitmen ini dilakukan untuk memastikan setiap anggota Pos Wira dapat berkhidmat dengan selesa dan penuh keyakinan dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.”
Terdahulu, isu ini menjadi hangat selepas seorang posmen memuat naik aduan mengenai seragam koyak yang masih belum diganti, menyebabkan beliau ditegur pelanggan. Respon CEO dalam bentuk perbandingan dengan syarikat luar negara mengundang kritikan warganet yang mempertikaikan profesionalisme dan kepekaan beliau terhadap isu dalaman syarikat.