PKP: 41 Warga Myanmar Sertai Parti Air Di Asrama Pekerja Didenda RM1,000 Seorang

- Advertisement -

SEPANG – Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan 41 pekerja warga Myanmar yang ditahan mengadakan pesta air di sebuah premis di sini, pada 12 April lalu, membayar denda RM1, 000 setiap seorang kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret A Akhiruddin @ Boy Acho, turut mengarahkan mereka dihukum penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, selepas pekerja terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mereka yang berusia antara 19 hingga 34 tahun didakwa mengikut Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, berhimpun menjalankan aktiviti keagamaan iaitu Pesta Air Thingyan dalam kawasan yang diisytiharkan sebagai satu kawasan tempatan jangkitan iaitu negeri Selangor.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 8.30 malam hingga 10 malam 12 April lalu, di Asrama Pekerja Lelaki di sebuah kilang di daerah ini.

Hukuman bagi kesalahan ini adalah denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Berikutan bilangan tertuduh yang ramai, Akhiruddin terpaksa mendengar kes itu di dalam kamar Mahkamah Sesyen di kompleks sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya memberitahu mahkamah, pihaknya memohon mahkamah mengambil kira fakta kes bahawa kesemua tertuduh berhimpun mengadakan pesta air pada tempoh PKP sedang dilaksanakan.

Beliau berkata, sebagai individu yang tinggal dan bekerja di negara ini, mereka seharusnya peka berikutan penguatkuasaan perintah itu disebarkan melalui media massa selain sudah juga dimaklumkan oleh majikan.

Justeru, katanya, tindakan kesemua tertuduh itu seperti mencabar undang-undang negara ini.

Beliau juga memohon kepada mahkamah untuk mengambil kira video perhimpunan itu tersebar melalui media sosial dan ketahui orang ramai.

Oleh itu, beliau berkata, pihaknya memohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan setimpal terhadap semua tertuduh supaya mengajar dan menyedarkan mereka dengan kesalahan serius dilakukan serta mencegah pekerja terbabit dan masyarakat umum daripada melanggar perintah kerajaan.

Sementara itu, peguam, G Rajasingam yang mewakili semua tertuduh berkata, mereka datang ke negara ini secara sah dan baharu saja mula bekerja di kilang terbabit.

Katanya, semua tertuduh adalah orang susah dan mempunyai tanggungan di kampung halaman mereka.

Beliau berkata, anak guamnya itu melakukan kesilapan meraikan tahun baharu mereka ketika itu.

Difahamkan kesemua mereka akan membayar denda itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat