“Zero Restraint” Jika Infrastruktur Tenaga Diserang Lagi – Iran

TEHRAN: Iran memberi amaran akan bertindak tanpa sebarang sekatan sekiranya kemudahan tenaga negara itu diserang lagi, susulan serangan ke atas medan gas utama negara tersebut dalam konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata tindak balas Tehran sebelum ini terhadap serangan ke atas infrastruktur negara itu hanya menggunakan sebahagian kecil daripada keupayaan sebenar.

Menurutnya, Iran mengekalkan tahap tindak balas terhad sebagai menghormati permintaan antarabangsa supaya ketegangan dikurangkan.

“Jika infrastruktur kami diserang lagi, tiada lagi sekatan dalam tindak balas,” katanya dalam kenyataan di platform X.

Amaran tersebut dibuat sehari selepas Israel dilaporkan menyerang medan gas South Pars, sumber gas terbesar Iran yang membekalkan kira-kira 80 peratus keperluan gas domestik negara itu.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan ke atas beberapa kemudahan tenaga di rantau Teluk, termasuk di Qatar yang menempatkan kompleks pemprosesan gas utama dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif QatarEnergy, Saad al-Kaabi berkata serangan tersebut merosakkan beberapa kemudahan di Ras Laffan Industrial City, yang mengendalikan sekitar 20 peratus bekalan gas asli cecair (LNG) global.

Menurut beliau, dua daripada 14 kemudahan pemprosesan LNG serta satu fasiliti gas-ke-cecair mengalami kerosakan, menyebabkan kira-kira 12.8 juta tan pengeluaran LNG setahun terjejas selama tiga hingga lima tahun.

Serangan itu juga dilaporkan menghapuskan kira-kira 17 peratus kapasiti eksport LNG Qatar dan boleh menyebabkan kerugian tahunan dianggarkan AS$20 bilion.

Al-Kaabi menyifatkan serangan tersebut sebagai sesuatu yang tidak pernah dijangkakan, terutama berlaku antara negara yang mempunyai hubungan serantau dan dalam bulan Ramadan.

Ketegangan di rantau Asia Barat meningkat sejak konflik antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata matlamat operasi ketenteraan itu adalah untuk mengekang ancaman nuklear dan peluru berpandu balistik Iran.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan meminta Israel supaya tidak mengulangi serangan terhadap infrastruktur gas Iran bagi mengelakkan lonjakan harga tenaga global.

Dalam perkembangan berkaitan, Iran turut didakwa menyekat laluan strategik Selat Hormuz, laluan penting bagi kira-kira satu perlima perdagangan minyak dan LNG dunia, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global serta tekanan inflasi.

Pegawai serantau memberi amaran bahawa konflik yang menyasarkan kemudahan minyak dan gas berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi dunia serta kestabilan Asia Barat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat