1,671 Jangkitan Baru Covid-19, Empat Kematian Dilaporkan Hari Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kes jangkitan COVID-19 menunjukkan peningkatan hari ini dengan merekodkan 1,671 kes baharu, menjadikan jumlah kes di negara ini meningkat kepada 331,713.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor mencatatkan kes harian tertinggi dengan 652 kes, diikuti Pulau Pinang (328) dan Sarawak (154).

Beliau berkata sehingga kini terdapat 14,442 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini, manakala empat kes kematian turut direkodkan hari ini.

“Berdasarkan angka kes baharu hari ini, kes (jangkitan) tempatan merekodkan sebanyak 1,038 kes membabitkan warganegara (62.2 peratus) dan 631 bukan warganegara (37.8 peratus). Terdapat dua kes import membabitkan masing-masing membabitkan seorang warganegara dan bukan warganegara.

“Daripada jumlah kes aktif itu, terdapat 151 kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 64 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Hari ini ada empat kes kematian membabitkan warganegara yang dikesan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 1,229 kes atau 0.37 peratus. Dua kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Sabah serta Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut perkembangan COVID-19 semasa, Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 1,585 kes sembuh dilaporkan dan ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 316,042 kes bersamaan 95.3 peratus.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan sebanyak empat kluster baharu dikenal pasti membabitkan dua kluster di tempat kerja dan dua lagi kluster komuniti.

“Kluster Teluk Air Tawar iaitu kluster tempat kerja membabitkan daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang. Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-320,536 dilaporkan positif COVID-19 pada 12 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini membabitkan sebuah pusat pendidikan di Teluk Air Tawar, Butterworth, Seberang Perai Utara. Sehingga 20 Mac 2021, sejumlah 335 individu disaring, di mana 33 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kluster Perindustrian Pekan Nanas membabitkan daerah Pontian di Johor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada 20 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja di sebuah kilang yang terletak di Taman Perindustrian Pekan Nanas, Pontian. Sehingga 20 Mac 2021, sejumlah 212 individu telah disaring di mana 39 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Bagi kluster komuniti pula, Dr Noor Hisham berkata ia diberi nama Kluster Tanjung Genting yang membabitkan daerah Meradong di Sarawak.

Jelasnya, kes indeks bagi kluster berkenaan iaitu membabitkan kes ke-322,242 dilaporkan positif COVID-19 pada 13 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Tanjung Genting, Meradong. Sehingga 20 Mac 2021, sejumlah 66 individu telah disaring di mana 22 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kluster Pulau Pisang iaitu kluster komuniti membabitkan daerah Perak Tengah di Perak. Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-313,168 dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Nama kluster berkenaan merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes-kes dilaporkan berlaku di Kampung Pulau Pisang, Bota dekat Perak Tengah. Sehingga 20 Mac 2021, sejumlah 41 individu telah disaring di mana 15 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan di Facebook hari ini, Dr Noor Hisham berkata jumlah kes kumulatif di Selangor meningkat kepada 111,550, manakala Pulau Pinang 14,432 kes dan Sarawak 13,974 kes.

Pecahan bagi negeri lain (kumulatif), Johor merekodkan 130 kes baharu menjadikan 39,873 kes sehingga kini, manakala Sabah 102 kes (54,209).

Diikuti Kuala Lumpur 78 kes (36,952); Kelantan 63 kes (5,591); Kedah 46 kes (8,060); Perak 37 kes (12,615); Terengganu 32 kes (3,539); Negeri Sembilan 25 kes (16,934) dan Melaka 18 kes (6,276).

Pahang merekodkan tiga kes (3,997); Wilayah Persekutuan Labuan tiga kes (2,279); Wilayah Persekutuan Putrajaya sifar kes (1,111) dan Perlis sifar kes (321). – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat