KUALA LUMPUR -Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan kepada tujuh pemain Harimau Malaya menyaksikan tujuh pemain itu kembali ‘bernyawa’.
Ini selepas dibenarkan untuk kembali beraksi apabila ‘bebas’ seketika daripada digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), nilai pasaran tujuh pemain itu kembali melonjak.
Ketika dalam tempoh penggantungan sebelum ini, mereka dianggap tidak bernilai kerana memiliki nilai pasaran sifar tetapi mereka kini bernilai jutaan ringgit.
Paling mencuri perhatian ialah Facundo Garces yang kembali menjadi tonggak utama bersama kelab LaLiga, Deportivo Alaves.
Pertahanan tengah itu kini kembali bernilai RM4.62 juta sekali gus mengukuhkan semula reputasinya di Eropah apatah lagi sudahpun turun beraksi dalam aksi kompetitif.
Manakala pemain sayap, Imanol Machuca turut menikmati nilai pasaran sebanyak RM6.92 juta walaupun nilai pasaran pemain itu pernah mencecah RM11.5 juta sebelum digantung FIFA, lapor BH pada Jumaat.
Trio Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menerima tempias positif dengan Joao Figueiredo bernilai RM5.55 juta, Jon Irazabal (RM2.31 juta) manakala Hector Hevel pula dengan RM1.61 juta.
Penyerang sensasi Rodrigo Holgado yang kini dipinjamkan ke kelab Chile, Coquimbo Unido, turut menyaksikan nilainya meningkat kepada RM1.15 juta selepas kembali mendapat minit permainan secara konsisten.
Walaupun nilai pasaran Gabriel Palmero belum dikemas kini, pertahanan sayap itu sudah kembali beraksi bersama Kuching City (KCFC) dan turut meledak gol buat pasukan itu.
Secara keseluruhan, tujuh pemain yang sebelum ini tiada memiliki sebarang nilai pasaran menghimpun nilai keseluruhan mencecah RM22.38 juta.



