KUANTAN,— Sebanyak 72 masjid dan surau sekitar Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan menerima sumbangan khas Ihya Ramadan bagi memperkukuh pelaksanaan program keagamaan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Farhan Fauzi berkata, sumbangan tersebut disampaikan menerusi Program Ihya Ramadan Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan 2026/1447H yang berlangsung di Masjid Taman Balok Makmur pagi tadi, dengan kehadiran wakil jawatankuasa masjid dan Surau Kebenaran Jumaat (SKJ) dari kedua-dua kawasan Parlimen berkenaan.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 45 masjid dan surau kebenaran Jumaat di Parlimen Indera Mahkota serta 29 lagi di Parlimen Kuantan menerima bantuan kewangan bagi membantu mengimarahkan Ramadan.
“Setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM5,000 manakala setiap surau menerima RM3,000 bagi membantu melancarkan pelaksanaan pelbagai program sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha menyokong peranan institusi masjid dan surau sebagai pusat ibadah, perpaduan serta kebajikan masyarakat, khususnya dalam menyantuni keperluan qariah sepanjang bulan mulia itu.
Dalam pada itu, Ahmad Farhan turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas keprihatinan menyalurkan peruntukan berkenaan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh institusi masjid dan surau sebagai tunjang pembangunan rohani masyarakat,” katanya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan tazkirah ringkas oleh Ustaz Uwais Al-Qarni Abdul Wahab yang menyentuh mengenai kemuliaan dan kelebihan Ramadan, di samping mengingatkan umat Islam agar sentiasa mensyukuri nikmat keamanan dan kesejahteraan negara.
Turut hadir ialah Pengerusi Masjid Taman Balok Makmur, Ts. Hj Roslan Awang, serta Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan, Mohammad Khairuddin Abdul Aziz.
Ahmad Farhan berharap sumbangan tersebut dapat membantu memperkukuh peranan masjid dan surau sebagai pusat pembangunan komuniti, sekali gus memastikan segala program sepanjang Ramadan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.



