KUALA LUMPUR – Pas tidak menentang pembangunan sebaliknya parti Islam itu menentang penindasan yang bertopengkan pembangunan.
Menurut Ketua Penerangan Pas, jika pembangunan itu benar-benar telus dan adil, mengapa perlu ada klausa yang membolehkan pemilik dipaksa keluar dari rumah mereka tanpa persetujuan penuh? Mengapa perlu akta baru sedangkan undang-undang tanah sedia ada sudah cukup untuk melindungi hak pemilik asal?
Ahmad Fadhli Shaari berkata, realitinya, Pas tidak “membodohkan” sesiapa tetapi menuntut supaya pembangunan berlaku tanpa merugikan hak rakyat, tanpa menggadaikan tanah-tanah milik mereka kepada pemaju besar yang hanya berminat menukar kawasan kos rendah menjadi kondominium mewah yang tidak mampu dimiliki oleh penduduk asal.
“Betapa mudahnya tuduhan bahawa Pas sedang “membodohkan rakyat” kerana menentang akta ini. Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) ini bukan soal “pembangunan”, tetapi soal kuasa siapa yang mengawal tanah bandar.
“Jika kerajaan benar-benar mahu membela rakyat, mereka sepatutnya memperkenalkan skim pemilikan yang menjamin penduduk asal tetap memiliki hak ke atas tanah mereka, bukannya memudahkan pemaju untuk merampasnya dengan persetujuan separa.
“Jadi, kepada mereka yang bertepuk tangan menyokong akta ini, tanyalah diri sendiri – apakah benar anda mahu pembangunan atau anda sekadar menyokong satu lagi usaha pemaju untuk mengaut keuntungan besar dengan mengorbankan hak rakyat? Atau lebih tepat lagi, siapa sebenarnya yang sedang “membodohkan” rakyat? soal Fadhli dalam hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian selepas membaca kenyataan Ahli Parlimen DAP yang menuduh Pas sebagai parti yang “membodohkan rakyat” kerana menentang Akta URA.
Kata Fadhli, kenyataan ini bukan sahaja dangkal tetapi juga menunjukkan betapa ceteknya pemahaman mereka terhadap implikasi sebenar akta ini kepada rakyat biasa.
“Menentang akta yang memberi kuasa kepada kerajaan dan pemaju untuk merampas hak rakyat bukanlah kebodohan, tetapi satu tanggungjawab untuk memastikan keadilan tidak diinjak oleh kepentingan golongan berkepentingan,” tegas beliau.
Ujarnya lagi, betapa canggihnya strategi kerajaan hari ini. Berikan satu nama yang kelihatan progresif – “Akta Pembaharuan Semula Bandar” (URA) – dan serta-merta sesiapa yang menentangnya akan dilabel sebagai jumud, anti-pembangunan, dan yang paling popular, “membodohkan rakyat”. Begitu mudah kaedah pemikiran liberal apabila fakta-fakta yang menyanggah mereka diketepikan begitu sahaja.
“Mari kita teliti logik di sebalik hujah pencatur-pencatur di belakang cadangan ini yang begitu gigih mahu menggambarkan Pas sebagai anti-kemajuan.”Pembangunan” Atau Rampasan Hak? Kononnya, Akta URA ini adalah usaha kerajaan untuk membangunkan bandar secara teratur dan memberikan keselesaan kepada rakyat.
“Namun, hakikatnya ia membolehkan kerajaan dan pemaju mengambil tanah dan rumah rakyat walaupun pemilik asal tidak bersetuju sepenuhnya. Persetujuan 75 peratus pemilik unit dalam sesebuah bangunan sudah mencukupi untuk membolehkan pengambilan tanah berlaku. Apa terjadi kepada 25 peratus yang tidak bersetuju? Dipaksa mengalah.
“Persoalannya, sejak bila prinsip demokrasi membenarkan suara majoriti menindas hak minoriti? Sejak bila kerajaan boleh memaksa pemilik melepaskan rumah mereka tanpa persetujuan mutlak? Oh, tapi jangan risau – semuanya atas nama “kemajuan”.
“Isunya mengapa isu pengambilan balik tanah ini tidak dilaksanakan melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) di bawah Kementerian Sumber Asli? Mengapa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang hanya melibatkan pemaju dan pengambil alihan tanah diberikan kuasa sebegitu besar dalam urusan ini? Seolah-olah, tujuan sebenar bukanlah pembangunan demi rakyat, tetapi lebih kepada memberi kelebihan kepada pemaju untuk mengambil alih tanah dengan lebih mudah.
“Jika benar akta ini demi kesejahteraan rakyat, mengapa rakyat perlu dipaksa untuk menyerahkan rumah mereka? Kenapa pemaju dan syarikat besar yang sentiasa mendapat manfaat terbesar dalam skim pembangunan semula seperti ini? soal beliau.
Fadhli malah mempersoalkan, berapa banyak projek “pembangunan semula” sebelum ini yang benar-benar menguntungkan pemilik asal?
“Lihatlah kes Kampung Baru di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan kawasan perkampungan Melayu lain yang akhirnya ditukar menjadi projek mewah yang tidak lagi mampu dibeli oleh penduduk asal. Jika rakyat terlalu miskin untuk membeli semula unit-unit baru yang “dijanjikan” kepada mereka, siapa yang akhirnya akan menguasai kawasan itu?
“Jawapannya mudah – pemaju dan mereka yang berkemampuan tinggi, yang kebiasaannya bukan dalam kalangan penduduk asal. Tetapi jangan risau, semua ini hanyalah “teori konspirasi” menurut mereka yang mahu mempertahankan akta ini,” bidas beliau.