KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Mohd Arif Ab Rahman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini daripada tuduhan bersubahat dengan anak lelakinya menerima rasuah berjumlah RM627,636, sembilan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), Datuk Lim Chong Fong, dan Datuk Azizul Azmi Adnan dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan Mohd Arif Ab Rahman, 68, untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara terhadapnya.
Bagaimanapun, mahkamah sama menolak rayuan anak lelakinya, Ahmad Zukhairi, 43, dan menghukumnya penjara empat tahun serta denda RM9.6 juta terhadap empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung beberapa projek membabitkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada 2016.
Mahkamah sama mengurangkan hukuman daripada lima tahun kepada empat tahun penjara bagi keempat-empat pertuduhan, manakala denda RM9.6 juta dikekalkan. Bagaimanapun, mahkamah mengurangkan tempoh penjara kepada enam tahun sekiranya gagal membayar denda, berbanding 10 tahun penjara sebelum ini.
Mohd Arif dan Ahmad Zukhairi merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 14 November 2018 yang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta ke atas Mohd Arif, serta penjara lima tahun dan denda RM9.6 juta terhadap anak sulungnya itu.
Azizul Azmi ketika membacakan keputusan itu berkata, keterangan mengikut keadaan tidak cukup untuk membuktikan Mohd Arif bersubahat dengan anaknya mengambil rasuah tersebut.
“Oleh itu, rayuan perayu pertama (Mohd Arif) diterima (dilepas dan dibebaskan), manakala rayuan perayu kedua (Ahmad Zukhairi) ditolak mahkamah,” lapor Harian Metro di Putrajaya pada Khamis.
Sementara itu, peguam Zamani Ibrahim yang mewakili Ahmad Zukhairi memohon hukuman terhadap anak guamnya dikurangkan atas alasan bagi memberi peluang kedua kepada perayu, selain dia menanggung dua anak.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata hukuman yang dikenakan terhadap perayu kedua (Ahmad Zukhairi) adalah setimpal.
“Mengambil kira umur perayu, insya-Allah dia menjadi manusia berguna kepada masyarakat selepas dibebaskan daripada penjara nanti, mengambil kira bulan Ramadan yang semakin hampir,” katanya.
Sebelum itu, Ahmad Zukhairi dilihat menangis dan memeluk ahli keluarganya sebelum dihantar ke penjara.
Mengikut pertuduhan, Mohd Arif didakwa bersubahat dengan Ahmad Zukhairi menerima rasuah berjumlah RM627,636 di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia, Kuala Lumpur, antara jam 4 petang dan 7 malam pada 23 Ogos 2016.
Ahmad Zukhairi pula didakwa atas empat pertuduhan. Pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan wang tunai dalam dolar Singapura berjumlah sama daripada Pengarah Wazlina Sdn Bhd (Wazlina), Datuk Mohd Safian Mohd Salleh, pada masa, tarikh, dan tempat yang sama.
Suapan itu sebagai upah untuk Ahmad Zukhairi dan bapanya kerana memberikan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid di empat pulau terpencil di Sandakan, Sabah, bernilai RM60 juta kepada syarikat sekutunya, Eramaz Sdn Bhd (Eramaz).
Bagi pertuduhan kedua, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan dua peratus bernilai RM1.2 juta daripada Mohd Safian sebagai upah untuknya dan bapanya kerana membantu Eramaz mendapatkan Projek BELB di Dorsett Grand Subang Hotel, Subang Jaya, pada 17 Mac 2016.
Pertuduhan ketiga dan keempat, Ahmad Zukhairi didakwa menerima wang tunai RM130,000 daripada kontraktor Zul Fadli Rozi sebagai upah membantu syarikat HH Global Construction Sdn Bhd untuk mendapatkan projek cadangan membina dan menyiapkan Dataran Rekreasi di Tasik Kenyir, Terengganu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Permai Golf & Country Club, Kota Kemuning, jam 8 pagi, 18 Ogos 2016, dan di Garden Course Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, pada September 2016.