KUALA LUMPUR – Ancaman serangan siber di Malaysia dijangka terus meningkat pada 2024 membabitkan organisasi yang berurusan dengan data peribadi dalam industri kewangan dan telekomunikasi.
Firma keselamatan siber global, Kaspersky Firma itu mendedahkan bahawa pada 2023, sistem pengesanannya telah menyekat 26.85 juta serangan “bawaan Internet” di Malaysia, mewakili 74,000 serangan setiap hari.
Dalam kes “jangkitan tempatan”, sistem pengesanan Kaspersky menghalang 22 juta ancaman di negara itu, yang diterjemahkan kepada 60,000 serangan setiap hari.
Pengurus Besar Kaspersky Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata kecanggihan setiap serangan meningkat sejak beberapa tahun lalu malah sistem pengendalian yang paling selamat boleh terjejas.
“Memandangkan pelaku ancaman berterusan termaju (APT) sentiasa mengembangkan taktik mereka dan mencari kelemahan baharu untuk dieksploitasi, perniagaan sewajarnya mengutamakan keselamatan sistem mereka.
“Ini melibatkan penyediaan kakitangan serta pasukan alat teknikal terkini bagi mengenali serta bertahan dengan berkesan terhadap potensi ancaman selain pemulihan insiden yang tepat pada masanya,” katanya pada sidang media mengenai landskap ancaman siber Malaysia untuk 2024, lapor Bernama.
Kaspersky hari ini secara rasmi melancarkan penyelesaian perisian bersepadunya yang merangkumi satu set fungsi untuk pemantauan serta pengurusan acara – “Kaspersky Unified Monitoring and Analysis Platform” (KUMA) bagi membantu perniagaan dan organisasi kekal selamat di alam siber sambil menerima kemajuan pendigitalan.
KUMA memperkasakan pasukan keselamatan siber dalam mengesan, menyiasat dan bertindak balas terhadap insiden siber yang kompleks dengan pendekatan keupayaan pengesanan serta tindak balas lanjutan (XDR).
Organisasi dengan saiz yang berbeza dan kematangan boleh menggunakan KUMA untuk menerima acara keselamatan daripada pelbagai sumber pihak ketiga termasuk alat keselamatan sambil mengaitkan peristiwa tersebut dengan suapan risikan ancaman kontekstual bagi mengenal pasti aktiviti atau anomali yang mencurigakan, sekali gus memberikan pemberitahuan insiden keselamatan yang tepat pada masa.
“Dengan mengumpulkan peristiwa keselamatan daripada semua kawalan keselamatan dan mengaitkannya dalam masa nyata dengan analitik termaju, KUMA merumuskan semua maklumat yang diperlukan untuk siasatan dan tindak balas insiden selanjutnya.
“Oleh itu, penggunaan KUMA akan membantu organisasi memperoleh cerapan termasuk risikan dengan menyediakan keterlihatan dan konteks yang diperlukan untuk memahami postur serta risiko keselamatan mereka,” kata Ketua Kejuruteraan Sistem Kaspersky Asia Tenggara Victor Chu.