Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Orang ramai dan peminat seni seramik kontemporari dijemput untuk menyaksikan keunikan karya-karya seramik secara eksklusif dalam Pameran Spatial Creative – Ceramic Zone serta Pameran Asal Tanah, yang sedang berlangsung di Galeri Aras 1 dan Galeri 2B, Balai Seni Negara, dekat sini sehingga 30 April ini.
Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata
sebagai institusi yang berperanan memperkasa pembangunan seni visual negara, dan akan terus komited dalam menyediakan pengalaman seni yang bermakna dan berkualiti kepada para pengunjung.
Perasmian Pameran Spatial Creative – Ceramic Zone serta Pameran Asal Tanah telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot di Balai Seni Negara, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad; pegawai-pegawai kanan MOTAC; wakil jabatan dan agensi; para seniman tanah air, serta rakan kerjasama.
“Pameran ini menampilkan 39 karya seramik, merangkumi seni seramik artistik, pottery, tableware dan arca, sekali gus menggambarkan kepelbagaian teknik, kreativiti dan pendekatan artistik para seniman.
“Karya-karya ini merupakan hasil Program Residensi Spatial Creative – Ceramic Zone (SCCZ) telah diadakan pada 22 hingga 30 Oktober tahun lalu, yang menghimpunkan 10 seniman daripada pelbagai latar belakang untuk meneroka potensi seni seramik kontemporari di Malaysia.
“Antaranya, Amy Nazira, Sabri Idrus, Saiful Razman, S. Amin Shahab, Bone Alfie, Shafiq Nordin, Amer01, Khairul Izzuddin, Kenji Chai, dan Tan Kai Sheuan, ”kata kenyataan itu.
Katanya, program residensi ini dirangka sebagai platform intensif yang memberi peluang kepada para seniman untuk berkarya secara langsung di studio profesional, sambil dibimbing oleh artis dan pakar seramik berpengalaman.
“Residensi ini dijalankan di tiga lokasi utama pembuatan seramik, iaitu BK Art Studio, Kuala Kangsar, Perak; Ilham Ceramic Studio, Langkawi, Kedah; dan Sari Chempaka Art Village, Karak, Pahang, dengan bimbingan tenaga pengajar seperti Mohammad Radzi Ismail, Ibrahim Mohd. Don @ Dun dan Muhammad Aimanuddin Kasman.
“Melalui pendekatan praktikal dan dialog kritikal, para seniman berjaya menghasilkan karya baharu sambil memperkukuh pemahaman mereka tentang hubungan antara
bentuk, fungsi dan ruang dalam rekaan seramik,”katanya lagi.
Ujarnya, selain meningkatkan kemahiran teknikal, program ini turut memperluas jaringan antara seniman pelbagai generasi dan komuniti seramik tempatan, membuka ruang kepada kolaborasi dan pertukaran idea secara berterusan.
“Penganjuran residensi ini turut dimeriahkan dengan Pameran Asal Tanah, menampilkan 83 karya seramik, termasuk karya daripada Koleksi Seni Visual Negara serta seniman
jemputan.
“Antara yang terlibat ialah seniman daripada Persatuan Seni Seramik Perak (PERSERA), selain hasil kolaborasi melalui program outreach, iaitu After Monsoon Project yang melibatkan komuniti di Pantai Pulau Kundur, Kelantan.
“Program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekosistem seni seramik di Malaysia serta mengangkatnya sebagai cabang penting dalam lanskap seni
kontemporari negara,”ujarnya lagi.
Tambahnya, penganjurannya turut menzahirkan elemen Daya Cipta dalam teras Malaysia MADANI, sekali gus membuka peluang pekerjaan serta memberi ruang kepada penggiat seni tanah air untuk menjana ekonomi.- SUARA.TV



