Tiga Kanak-kanak Maut Di India Akibat Terjerut Tali Layang-layang

- Advertisement -

NEW DELHI – Enam orang termasuk tiga kanak-kanak maut selepas leher mereka terjerut tali layang-layang ketika menyambut perayaan Uttaran di Gujarat, India.

Kejadian itu berlaku pada hujung minggu ketika orang ramai hadir ke Festival Layang-Layang Antarabangsa di Gujarat.

Pegawai di bandar Bortalav berkata, beberapa tali layang-layang yang tajam tersangkut dan terbelit pada leher mangsa lalu menyebabkan mereka maut.

Menurut polis, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun antara mangsa paling muda yang maut dalam kejadian itu.

Katanya, mangsa sedang membonceng skuter bersama bapanya di bandar Bhavnagar apabila tali layang-layang menjerut lehernya.

Dia meninggal dunia pada Ahad selepas menerima rawatan di hospital berhampiran.

Dalam kejadian lain, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang sedang berjalan pulang bersama ibunya di bandar Visnagar maut apabila seutas benang terbelit di lehernya.

Kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba.

Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut selepas lehernya terbelit tali layang-layang ketika sedang menunggang dengan ibu bapanya menaiki skuter di Rajkot.

Tiga lelaki turut kehilangan nyawa dalam kejadian serupa di daerah Vadodara, Kutch dan Gandhinagar.

Sementara itu, pihak berkuasa berkata, terdapat beberapa kes individu menggunakan tali yang tajam untuk menerbangkan layang-layang mereka.

Tali layang-layang bersalut kaca dipercayai antara punca utama kejadian itu, dan ia masih boleh didapati walaupun penggunaannya sudah dilarang.

Dilaporkan, tali bersalut kaca sering digunakan pemain layang-layang untuk memutuskan tali pesaing, namun malangnya ia boleh menyebabkan kecederaan dan kematian. – Agensi

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat