CYBERJAYA – Malaysia dan Iran telah menyatakan komitmen masing-masing untuk mempertingkatkan kerjasama dua hala khususnya melibatkan penyelidikan dan pembangunan pertanian.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menerusi satu kenyataan media berkata, perkara tersebut adalah antara inti pati perbincangan antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dan Duta Besar Iran di Malaysia Ali Asghar Mohammadi dalam pertemuan yang berlangsung pada 10 Januari lepas.
“Pertemuan itu bagi mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.
“Iran bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang penyelidikan dan pembangunan melalui kerjasama antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Pertubuhan Penyelidikan, Pendidikan dan Pengembangan Pertanian (AREEO) yang berpangkalan di Tehran.
“Satu perjanjian kerjasama dijangka akan ditandatangani di antara MARDI dan AREEO tidak lama lagi.
“Selain itu, Iran juga mengharapkan kepakaran dan pengetahuan Malaysia dalam bidang akuakultur dalam membangunkan sektor akuakultur di Iran,” kata kenyataan MAFS, semalam.
Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua negara turut bersedia untuk memperkukuhkan perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.