Anwar dapat perintah injunksi inter-parte halang Sanusi ulang kenyataan fitnah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh perintah injunksi inter-parte (dua belah pihak) bagi menghalang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, daripada mengulangi dan menerbitkan semula kenyataan didakwa memfitnahnya.

Injunksi terbabit adalah berkaitan kes saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berhubung ucapan didakwa berbaur fitnah dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’ pada November tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi di Alor Setar, Mahazan Mat Taib, membuat keputusan itu, hari ini, selepas mendengar hujahan peguam, Datuk S N Nair yang mewakili Anwar, dan peguam, Yusfarizal Yussoff yang bertindak bagi pihak Muhammad Sanusi, pada 16 Oktober lalu.

Menurut Nair ketika dihubungi pemberita, hari ini, mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya dan memberikan injunksi inter-parte (perintah larangan) sehingga kes saman utama diputuskan mahkamah.

Beliau berkata, Muhammad Sanusi juga dilarang mengeluarkan kenyataan serupa atau yang mempunyai kesan sama dalam apa jua cara, bentuk atau lain-lain yang mempunyai kecenderungan untuk menggambarkan Anwar sama ada secara langsung atau sindiran, seperti dalam pernyataan tuntutan anak guamnya.

Katanya, mahkamah kemudian menetapkan 19 Februari depan melalui prosiding E-Review di hadapan pendaftar, bagi status terkini pemfailan dokumen sebelum perbicaraan.

Pada 30 Julai lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan Anwar untuk mendapatkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) berhubung perkara sama.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 13 November tahun lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah memberikan ucapan pilihan raya pada ceramah itu sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

Anwar mendakwa, ucapan dalam ceramah itu diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung dalam aplikasi Facebook bawah nama ‘Faizal Azumu’ yang mendapat tontonan lebih 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa pada 14 November tahun lalu, kenyataan fitnah daripada video itu telah dipetik oleh MalaysiaKini dan portal berkenaan menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris bertajuk ‘Kes liwat Anwar: Dulu kesian sungguh, sekarang PAS kata kena ‘pikiaq’.

Anwar mendakwa, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif mendapat Pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdayakan Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Plaintif mendakwa kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu.

Anwar mendakwa, kenyataan fitnah itu menyebabkannya dihina, mendapat cemuhan daripada masyarakat, selain memudaratkan imej dan reputasi baiknya sebagai Presiden PKR, Pengerusi PH, Ahli Parlimen Tambun, Perdana Menteri Ke-10 dan Menteri Kewangan Malaysia.

Anwar mendakwa pada 16 November tahun lalu, plaintif melalui peguamnya menuntut defendan menarik balik, memohon maaf, mengaku janji untuk tidak mengulangi, dan membayar ganti rugi kepada plaintif, namun defendan melalui surat peguamnya bertarikh 7 Disember tahun lalu, membalas surat dan menyatakan pengakuan tidak berbelah bahagi mengenai fakta dalam ucapan itu.

Sehubungan itu, plaintif memohon ganti rugi am, teruk serta teladan, selain perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan semula kenyataan serupa terhadap plaintif, serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat