Nash terpaksa redah banjir dengan motosikal?

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Nash, 62, berdepan cabaran getir apabila terperangkap dalam banjir ketika mahu ke stesen TV Al-Hijrah untuk program secara langsung Hijrahkan Laguku, malam tadi.

Menerusi video di Facebooknya, Nash yang mulanya menaiki kereta, terpaksa beralih kepada motosikal besar yang ditunggangi rakannya untuk membawa dia keluar dari kawasan banjir di sekitar jalan Shah Alam dan Klang.

Nash yang dihubungi berkata, ini ujian yang diberikan Allah SWT buatnya.

“Saya tersangkut dalam banjir hampir tiga jam lamanya. Saya keluar rumah dari Shah Alam selepas Zohor menaiki kereta yang dipandu oleh pembantu peribadi, Syafiq untuk ke TV Al-Hijrah.

“Beberapa kawasan antara Klang dan Shah Alam dah banjir, jadi kami masuk semula ke laluan Shah Alam dan apabila tiba di kawasan Bukit Tinggi, kami tersangkut semula dalam banjir.

“Nasib baik pihak polis buka penghadang pemisah antara jalan dan kami ambil keputusan patah balik serta terus cuba cari jalan alternatif di Seksyen 20,” katanya.

Disitu, mereka sekali lagi tersangkut dalam banjir dan sekali lagi buat keputusan berpatah balik ke jalan lain.

“Setiba di Stadium Panasonic Seksyen 20, kami tersangkut hampir tiga jam. Saya terfikir apa akan jadi kerana malam itu ada program ‘live’. Ketika itu jam sekitar lima petang.

“Akhirnya saya dapat idea hubungi kawan saya untuk minta dia ambil saya dengan menggunakan motosikal. Dia yang mulanya diluar dengan keluarga, segera balik ke rumah untuk ambil motosikalnya,” katanya.

Motosikal yang dinaiki mereka terpaksa meredah banjir dan ada satu ketika mati enjin akibat dimasuki air.

“Pelbagai jalan alternatif kami lalui dengan keadaan jalan sesak di sana sini. Kami sampai ke TV Al-Hijrah ketika azan Maghrib berkumandang.

“Saya memang sehelai sepinggang tapi mujurlah pakaian disediakan oleh penaja. Untuk balik ke Shah Alam pula memang tak boleh kerana jalan ditutup. Jadi, saya tidur di sebuah hotel yang disediakan di ibu kota sehingga sekarang,” katanya.

Nash bersyukur kerana kejadian ini tidak menjejaskan persembahannya menerusi lagu Kehilangan nyanyian asal Firman.Dia berjaya meneruskan persembahan ke peringkat seterusnya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat