KOTA KINABALU – Pemuda Umno yang membawa karektor lantang sehingga adakalanya nampak keterlaluan hanya kerana blok pembangkang lemah.
Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin berkata, Pemuda Umno memilih untuk vokal dalam mengulas isu-isu hangat yang berlaku kerana tidak mahu terlarut dalam apa juga perubahan landskap politik yang berlaku.
Tegas beliau, Pemuda Umno tidak diam kerana tidak mahu masyarakat hilang kepercayaan kepada asas perjuangan Umno.
“Pemuda Umno memang kena macam tu (lantang), jarang tengok Pemuda pasif, kalau tengok dalam sejarah Pemuda sejak 1949 daripada Kapten Hussein Onn sehinggalah kepada yang sekarang ini (Datuk Dr Akmal Saleh) kita generasi ke-14 tidak ada dalam sejarah Pemuda yang jadi begitu cermat ataupun begitu teliti dalam banyak hal.
“Saya lihat Pemuda Umno ini nampak keterlaluan kerana pembangkang lemah, they are weak, they are not well organized disebabkan itu bila Pemuda Umno lantang dan kritik dalam beberapa isu jadi spotlight kepada Pemuda sahaja.
“Walhal ada ramai ketua pemuda di belah sana (pembangkang) yang sebenarnya boleh lebih panas daripada Pemuda Umno.
“…dan kenapa Pemuda Umno perlu ambil posisi itu adalah kerana kalau Pemuda Umno senyap akhirnya kepercayaan orang kepada parti, perjuangan asas kita akan luntur, orang kata Umno being diluted in the water macam panadol Soluble letak dalam air terlarut sama.
“Pemuda Umno kita tak boleh tunjukkan kita terlarut apa jua perubahan landskap politik yang ada.
“Pemuda mesti kekal sebagai sayap kanan parti, tulang belakang, panglima perang ke depan,” tegas Hafiz dalam podcast Jam Kesebelas.



