KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi rasa sedih dan sunyi apabila mengenang semua sahabat baiknya telah pergi menemui pencipta.
Dalam catatan di blognya hari ini, bekas Perdana Menteri itu menulis tentang pemergian sahabatnya karibnya, Khalid Julong yang menghembuskan nafas terakhir semalam 18 November 2020.
“Khalid Julong meninggal pada 18 November 2020. Dengan pemergiannya maka tamatlah satu generasi pejuang Melayu.
Tinggal saya seorang. Saya sedih. Semua mereka kawan lama. Saya kesunyian,” katanya.
Ahli Parlimen Langkawi itu mengimbau perkenalan dan persahabatannya dengan Allahyarham Khalid.
“Kami berkenalan dan berdamping dalam arena politik apabila tamat sahaja perang Dunia Kedua. Kami berada dalam Saberkas, sekumpulan anak Melayu yang memiliki kesedaran akan bangsanya.
“British merancang untuk rampas negeri-negeri Melayu untuk dijadikan tanah jajahan mereka. Malayan Union akan tamatkan kewujudan orang Melayu dengan Tanah Melayu mereka,” catat beliau.
Dr Mahathir memberitahu selain Khalid ada beberapa lagi teman seperjuangannya yang telah pergi ke negeri abadi.
“Khalid, Azahari Taib, Khir Johari, Khir Pa’ Awang, Hj Taha, Chegu Senu dan lain-lain sudah tidak ada.
“Saya berdoa roh arwah Khalid Julong akan dirahmati Allah SWT,” catatnya.