KUALA LUMPUR: Hasrat Datuk Awie dan kumpulan Search yang tidak mempunyai vokalis selepas Amy meninggalkan band itu, mementaskan konsert besar-besaran, bulan depan, tidak kesampaian.
Konsert Cinta Buatan Malaysia yang dijadual berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 12 Disember depan, ditunda kepada 13 Februari di lokasi sama, dengan menggunakan nama baharu.
Konsert ini terpaksa ditunda berikutan penularan pandemik COVID-19. Ini kali kedua konsert yang pada mulanya dikenali sebagai Konsert Apologia Search dan Awie, ditangguhkan.
Konsert ini pada mulanya dirancang di The Bee, Publika, pada 28 Mac lalu. Namun, penganjur, Imaginex dan HS Shazlicious Trading terpaksa membuat keputusan menangguhkannya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Apa yang menarik, konsert yang bakal dipentaskan Februari depan, diberi penjenamaan semula dengan nama ‘Projek Bikin Wilayah 2021’. Konsert ini akan menampilkan Awie sebagai vokalis; Nasir (bes); Kid dan Din (gitar) serta Pane (dram).
Mereka bakal memainkan lagu daripada album projek istimewa Awie dan Search iaitu, Bikin Wilayah yang dirakam pada 1998, selain dendangan hit Search yang lain.
Peminat yang sudah mendapatkan tiket konsert Apologia dan Konsert Cinta Buatan Malaysia seperti diumumkan sebelum ini, masih boleh menggunakan tiket berkenaan bagi tarikh 13 Februari depan.
Tiket berharga serendah RM99 hingga RM399 boleh didapati dengan melayari www.ilassotickets.com.
Bagi tiket VIP berharga RM399, sehelai baju-T, cakera padat dan poster menanti pembeli.
Berita Harian