Kerajaan Tidak Abaikan Zoo Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sangat prihatin dalam membantu Zoo Negara yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam satu kenyataan media KeTSA memaklumkan, pihaknya memahami bahawa pendapatan Zoo Negara bergantung kepada hasil kutipan tiket, jualan-jualan produk dan perkhidmatan.

“Sebagai tanda prihatin kerajaan kepada kebajikan hidupan liar, tindakan proaktif telah diambil dengan menyalurkan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM1.3 juta kepada Zoo Negara pada 10 April 2020 untuk menyediakan bekalan makanan kepada hidupan liar.

“Selain itu juga, kerajaan telah memanjangkan secara spesifik diskaun 15 peratus bil elektrik secara bulanan selama enam bulan kepada Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) termasuk Zoo Negara di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0),” katanya.

Jelasnya lagi, Zoo Negara juga telah berjaya mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak sebanyak RM10.6 juta sejak Januari hingga September 2020 melalui rangkaian media sosialnya.

Menurutnya, sumbangan yang diterima adalah dalam bentuk bantuan kewangan, makanan haiwan dan pelbagai program yang ditawarkan oleh Zoo Negara.

“Bantuan kerajaan kepada Zoo Negara bukan sahaja dilaksanakan dalam tempoh PKP, sebaliknya bantuan telah disalur sejak awal penubuhan Zoo Negara.

“Setakat ini Kerajaan telah menyediakan peruntukan lebih RM50 juta bagi pelbagai projek Zoo Negara sejak Rancangan Malaysia Ke-7 (RMKe-7),” katanya.

Untuk makluman, Zoo Negara dimiliki oleh Malaysia Zoological Society (MZS) yang merupakan sebuah badan bukan Kerajaan (NGO) dan berfungsi sebagai sebuah entiti perniagaan.

“Operasi ZPT perlu diperkukuhkan supaya dapat meningkatkan sumber pendapatan, lebih berdaya saing dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan,” tambahnya.

Hal demikian, Jabatan PERHILITAN berharap agar Zoo Negara dapat menguruskan dana yang diterima secara berhemah dan telus.

“Jabatan PERHILITAN mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada syarikat atau orang perseorangan bagi membantu mengurangkan bebanan kos makanan serta penyelenggaran kepada ZPT yang terjejas,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat