Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah menyelesaikan siasatan mengenai insiden 131 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB) pada 1 Februari lalu.
EAIC dalam satu kenyataannya pada Rabu memaklumkan, siasatan ini dijalankan berdasarkan aduan yang diterima dan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Menurutnya, siasatan mendapati insiden tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari DISB berpunca daripada kekerasan dan penderaan.
Menurutnya lagi, terdapat unsur kekerasan melampau serta penderaan fizikal dan mental yang dialami oleh tahanan-tahanan di DISB.
“Pegawai dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di DISB didapati tidak peka terhadap keadaan sekeliling sebelum insiden melarikan diri berlaku.
“Bangunan DISB, yang merupakan bekas Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) itu, mempunyai kelemahan infrastruktur yang tidak memenuhi standard yang diperlukan untuk berfungsi sebagai depot tahanan.
“Pegawai kanan dan penyelia di DISB turut gagal memantau dan bertindak untuk mengawal keadaan semasa insiden tersebut, ”katanya.
“Siasatan mendapati bahawa, kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya telah bermula sejak 2020 hingga 2021 ketika mereka di tempatkan di Kem Wawasan Langkawi, sebelum dipindahkan ke beberapa depot imigresen, termasuk DISB.
“Beberapa pegawai JIM di DISB, termasuk dua orang pegawai yang pernah bertugas di Kem Wawasan Langkawi sebelum ditukarkan ke DISB, didapati telah melakukan kekerasan yang melampau serta penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan etnik Rohingya sehingga mengakibatkan kecederaan kepada mereka, ”katanya lagi.
“EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai-pegawai yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JIM.
“Cadangan penambahbaikan infrastruktur depot tahanan juga akan dikemukakan kepada Ketua Pengarah JIM, ujarnya.
“EAIC telah membuat laporan polis mengenai isu kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya di DISB dan Kem Wawasan Langkawi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), ”ujarnya lagi.- SUARA.TV