KPLB Peruntukan RM83.2 Juta Bina Dan Baik Pulih Rumah PPRT

- Advertisement -

KOTA MARUDU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukan RM83.2 juta untuk membina serta membaik pulih rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin, PPRT di Sabah dan Labuan.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peruntukan itu membabitkan pembinaan 520 rumah baharu dan baik pulih 2,818 rumah PPRT.

“Fokus KPLB adalah untuk menyediakan kediaman yang selesa kepada golongan termiskin yang masih belum ada kediaman. Selain itu kita juga mengambil kira mereka yang memerlukan bantuan untuk membaikpulih rumah mereka.”

“Sebagai contoh di negeri Sabah ini kita telah menyiapkan banyak rumah-rumah PPRT dan yang telah dibaikpulih. Projek bina baharu dan baik pulih PPRT ini saya telah letakkannya sebagai satu daripada keutamaan dan KPI 100 hari saya sebagai menteri dan juga KPLB.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan replika kunci rumah kepada penerima PPRT Bina Baharu dan menyampaikan bantuan bakul makanan di Kampung Tanjung Batu, Pitas hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Timbalan Menteri 1, KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Sementara itu, penantian selama 18 tahun Masri Bakri, 45, untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila dia dan keluarga kecilnya kini mendiami rumah yang dibina menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tanjung Batu di sini.

Masri, yang bekerja sebagai nelayan, sebelum ini menumpang di rumah keluarga mentuanya bersama isteri, Masritah Mohd Yassin, 40, dan empat anak mereka sejak 2003.

Beliau berkata mereka sekeluarga mula mendiami rumah PPRT itu pada April selepas ia mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

“Kami tinggal di rumah mentua cukup lama. Sebenarnya saya memang sudah lama memohon rumah PPRT dan kalau diikutkan, ada tujuh kali saya membuat permohonan tetapi tidak berjaya.

“Bagaimanapun, saya amat bersyukur apabila pada tahun ini diberikan rezeki untuk mendapatkan rumah PPRT. Anak-Anak juga gembira dapat tempat tinggal yang selesa. Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu golongan seperti kami,” kata Masri.

Rumah berkeluasan 660 kaki persegi itu, yang dilengkapi tiga bilik tidur, satu bilik air, dapur serta ruang tamu, dibina dengan kerjasama GiatMARA menerusi projek PPRT 2021, KPLB.

Seorang lagi penerima, Ramlon Maidin, 51, turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan membina rumah PPRT yang disifatkannya sebagai kediaman cukup selesa serta selamat untuk isteri dan lima anak mereka yang berusia antara empat hingga 15 tahun.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat