Agenda Rabbani yang lestari

- Advertisement -

Datuk Abdul Aziz Jusoh

Tiada susuk tubuh insan yang layak menjadi contoh ikutan melainkan beliau Nabi Muhammad SAW, utusan Tuhan. Insan yang sudah pergi meninggalkan kita namun tetap menjadi ingatan, ikutan dan sanjungan sepanjang zaman. Insan yang bukan sahaja dicontohi oleh umat Islam, tetapi juga diberikan pengiktirafan oleh mereka yang bukan beragama Islam. Insan yang mana setiap butir perkataan yang keluar dari mulutnya dan setiap gerak-geri anggota tubuhnya diperhatikan dan direkodkan agar menjadi panduan umat manusia hingga ke akhir zaman. Dialah insan yang mewasiatkan kepada pengikutnya hanya dua perkara untuk menjadi pegangan iaitu al-Quran dan hadis.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi Muhammad SAW pernah membaca Surah Ibrahim ayat 36 yang bermaksud: “Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah banyak menyebabkan sesat banyak antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Baginda juga membaca doa Nabi Isa AS dalam Surah al-Maidah ayat 118 yang bermaksud: “Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Sesudah itu bercucuran air mata Baginda sambil menadah tangan dan berkata: “Ya Allah, ummati, ummati…” Betapa hadis ini menggambarkan kasih sayang dan keperihatinan Rasulullah SAW terhadap umatnya. Baginda sangat bimbang mengenai umatnya dan mengharapkan reda Allah SWT.

Jika kita telusuri kehidupan Baginda, hampir keseluruhan hidupnya dipamerkan mengenai hubungan sesama insan dan penyatuan umat Islam atas kalimah tauhid. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kaum berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).”

Kehidupan bersama

Kami ingin menekankan di sini bahawa ayat ini merupakan panduan bagaimana fiqh al-ta’ayush (kefahaman kehidupan bersama atau coexistence) menjadi asas dalam mengukuhkan perpaduan sesebuah negara majmuk. Rasulullah SAW telah berjaya menunjukkan resipi perpaduan dalam mengangkat persefahaman sesama Islam dan mengharmonikan hubungan antara pelbagai kaum dan agama tanpa menggadaikan akidah.

Dalam Surah al-Taubah ayat 128, Allah SWT merakamkan sifat Rasulullah SAW yang sanggup menanggung beban memikirkan kemaslahatan umat Islam. Baginda menyumbang seluruh daya agar umatnya tergolong antara golongan al-sabiqun (orang berlumba-lumba membuat kebaikan) atau ashabul yamin (puak kanan) seperti yang disebutkan dalam Surah al-Waqi’ah. Ketika suku puak Aus dan Khazraj bertelagah puluhan tahun sebelum kedatangan Islam, Baginda berjaya mengubah perpecahan tersebut kepada perpaduan yang erat. Dengan nama Tuhan yang Maha Esa, kedua-dua puak berbai’ah melalui enam orang utusan mereka dan berbaik-baik berterusan lamanya.

Hubungan antara umat Islam juga tidak terhad kepada garis sempadan sesebuah negara. Atas nama tauhid juga, Rasulullah SAW dapat membuktikan persaudaraan umat Islam itu mengatasi segalanya. Ia termaktub dalam lipatan sejarah perpindahan Nabi Muhammad SAW serta Muhajirin daripada Makkah yang disambut dengan penuh mesra dan bantuan oleh kaum Ansar di Madinah.

Rasulullah SAW juga sering diingatkan bahawa misi menyampaikan mesej tauhid itu adalah tugasnya dan keadilan sebagai paksinya. Tonggak keadilan yang dicanai dengan kebijaksanaan Rasulullah telah mewujudkan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat majmuk di Madinah. Kaum Yahudi dalam kalangan Bani Auf, Bani Nadhir, Bani Qainuqa’ dan Bani Quraizah, contohnya, telah diterima untuk menetap di Madinah dan dijamin hak mereka melalui Piagam Madinah. Namun, atas keingkaran sebahagian daripada mereka berpegang pada janji kenegaraan, mereka ditimpa azab atas apa yang mereka lakukan.

Tiga Prinsip Perpaduan

Kami melihat agenda perpaduan amat dekat dengan misi kenabian selepas agenda tauhid disebarkan. Ayat ke-13, Surah al-Hujurat membawa makna yang sarat dalam aspek kesatuan ummah dengan menetapkan tiga intipati utama iaitu, pertama, kepentingan memelihara hubungan sosial. Sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, hubungan ini dipelihara dari sudut kita berkomunikasi, menonjolkan rasa kasih sayang dan bertolong-bantu.

Kedua, jaminan kesamarataan tanggungjawab dan hak. Dalam Islam, kecaknaan terhadap tanggungjawab seseorang akan memenuhi hak diri dan orang lain. Justeru, tanggungjawab setiap warganegara juga ditekankan selain hak yang selalu dituntut. Contohnya, jaminan keamanan akan tercapai jika semua rakyat melaksanakan tanggungjawab untuk sentiasa melaksanakan perdamaian. Daripada situlah hak semua insan untuk hidup dalam aman dan harmoni boleh dikecapi.

Ketiga, aspek yang paling penting dalam Islam ialah keutuhan akidah dan ketakwaan. Tidak ada kaum yang lebih mulia daripada yang lain. Tidak ada orang yang lebih tinggi darjatnya daripada yang lain melainkan orang yang lebih takwanya. Dalam skop kenegaraan, akidah Islam wajib dipertahankan kerana itulah resipi utama perpaduan. Toleransi sosial tidak wajar ditafsirkan sebagai toleransi beragama.

Ketiga-tiga intipati ini adalah aspek utama dalam mengangkat tema Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera yang diumumkan oleh kerajaan. Dengan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara, kami optimis bahawa seluruh rakyat Malaysia mampu menjadi sebuah keluarga yang harmoni di sebalik kepelbagaian bangsa dan agama. Prinsip kehidupan bersama (al-ta’ayush) perlu diperkukuhkan agar panduan Rabbani dapat memupuk persefahaman dan perpaduan yang lestari.

Penulis Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat