KUALA LUMPUR – Majlis Media Malaysia (MMM) mengecam tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan denda RM100,000 terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd, sambil menyifatkannya sebagai “melampau, tidak seimbang dan berbahaya” kepada kebebasan media negara.
Menurut MMM, hukuman yang terlalu berat itu bukan sahaja menjejaskan kelangsungan operasi bilik berita, malah berisiko menimbulkan budaya ketakutan dan penapisan sendiri dalam kalangan wartawan serta pengarang.
“Media mempunyai tanggungjawab utama untuk memaklumkan masyarakat dan memantau pihak berkuasa. Hukuman yang tidak munasabah akan membunuh peranan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan tegas hari ini.
MCMC sebelum ini mengumumkan denda ke atas Sin Chew kerana menyiarkan Jalur Gemilang tidak lengkap di portalnya, manakala Sinar Harian dihukum kerana menerbitkan infografik tersalah meletakkan nama Ketua Polis Negara Khalid Ismail sebagai ahli PKR. Kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) dan dituduh mengikut Seksyen 243 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara (AGC).
MMM menegaskan, walaupun menghormati kuasa penguatkuasaan MCMC, kesilapan editorial yang tidak disengajakan sepatutnya diperbetulkan melalui penjelasan dan pembetulan, bukannya dihukum dengan denda yang mengancam kewartawanan dan menyekat kepelbagaian media.
“Kesilapan manusia bukan alasan untuk membunuh bilik berita. Denda melampau ini menjejaskan laporan berkepentingan awam dan mencipta landskap media yang serba takut,” tambah kenyataan itu.
Majlis Media turut memberi amaran bahawa langkah keras sebegini berlaku ketika industri media sedang melalui transformasi pesat dengan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital. Hukuman keterlaluan, katanya, hanya akan menyekat inovasi serta melemahkan daya saing media tempatan.
“MMM menyeru MCMC, Kementerian Dalam Negeri dan semua pihak berkepentingan untuk duduk semeja mencari garis panduan yang jelas dan adil. Matlamat bersama ialah melindungi integriti kewartawanan serta hak masyarakat mendapat maklumat, bukan menakutkan media,” katanya lagi.



