KLUANG – Gerak kerja jentera kempen calon Barisan Nasional (BN) DUN Mahkota diyakini sedikit sebanyak sudah mampu menjernihkan ‘kemarahan’ pengundi Cina terhadap Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh.
Tidak menafikan ketegangan yang wujud antara masyarakat Cina dengan Dr Akmal, selebriti yang juga Ketua Pemuda Umno Jalan Hospital, Shahrol Azizie Azmi atau lebih sohor dikenali sebagai Shahrol Shiro berkata, permasalahan itu semakin mereda apabila jentera kempen Syed Hussien Syed Abdullah turun menyantuni masyarakat Cina di DUN itu.
“Menurut pandangan saya dengan gerakan kempen Syed Hussien sedikit sebanyak sudah pun menjernihkan keadaan (ketegangan) itu ada berlaku perbalahan tetapi hari ini dah semakin okey lah dengan dengan keadaan kempen-kempen yang saudara Syed Hussien telah turun dengan gerakan jentera-jentera bersama (Perpaduan) apa semua.
“Insya-Allah perkara tersebut (protes pengundi Cina) tidak berlaku,” kata Shahrol ketika ditemui media pada Khamis.
Tambah beliau lagi, masyarakat Cina sudah disantuni oleh jentera kempen calon BN bersama MCA dan komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya fokus kempen dengan orang muda.
“Mungkin masyarakat Cina telah pun disantuni oleh Syed Hussien dan juga jentera-jentera daripada MCA dan sebagainya,” ujar beliau lagi.
Terdahulu, timbul ura-ura masyarakat Cina di Mahkota kurang senang dengan kelantangan Ketua Pemuda Umno yang dianggap tidak menjaga sensitiviti kaum dan agama lain terkait pergeseran dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membabitkan isu sijil halal.