KLUANG – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dicabar oleh Perikatan Nasional (PN) untuk mengumumkan pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri Johor sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota 28 September ini.
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Onn Hafiz sepatutnya bersikap terbuka dan adil dalam hal tersebut kerana sehingga kini tiada Kerajaan Perpaduan di Johor meskipun mendapat sokongan parti komponen lain.
“Kena telus apabila bercakap tentang perpaduan (antara BN dan Pakatan Harapan di Johor), kamu mesti Ikhlas dalam hubungan (kerjasama politik).
“Tiada Kerajaan Perpaduan di Johor walaupun Pakatan Harapan (PH) (terdiri daripada) PKR, DAP dan Parti Amanah menyokong Umno selama dua tahun.
“Mereka tidak dapat apa-apa, di mana semangat Kerajaan Perpaduan di Johor? Saya cabar Menteri Besar sekiranya dapat kekalkan kerusi DUN Mahkota, adakah mereka akan bentuk Kerajaaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas program ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham, malam tadi.
Terdahulu dalam ceramahnya, Azmin secara sarkastik mempersoalkan sejauh mana pembentukan Kerajaan Perpaduan dapat diterjemahkan di negeri ini sekiranya calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dapat mengekalkan mandat BN.
“Tiada Kerajaan Perpaduan di Johor. Sebab itu itu kita dengar Amanah (Parti Amanah Negara) dah mengamuk…kerana dah dua tahun mereka mendukung Kerajaan Johor.
“Tapi (jawatan) ketua Kampung pun tak dapat, ahli majlis pun tak dapat, GLC pun tak dapat. Jadi di mana Kerajaan Perpaduannya?,”soal Azmin lagi.
Beliau juga mendakwa, PH Johor kini mendukung sebuah gabungan politik yang tidak mempedulikan mereka, dan percaya mustahil untuk berlakunya perkongsian kuasa jika BN menang di PRK DUN Mahkota.
Sebelum ini Onn Hafiz dilaporkan berkata, pada ketika ini tiada keperluan untuk Johor menubuhkan Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat Pusat.
Menurutnya yang juga Pengerusi Umno Johor, ini kerana kerajaan negeri pimpinan BN ditubuhkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).