Muhyiddin mohon ketepikan pertuduhan gubah wang haram RM200 juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan memohon untuk mengetepikan tiga pertuduhan terbabit pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta yang dihadapinya.

Peguam bela Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, berkata permohonan itu mengikut Seksyen 173 (g) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

“Kita akan memfailkan permohonan secepat mungkin, selain akan menulis kepada pendakwaan untuk persetujuan supaya Muhyiddin mendapatkan kembali pasport,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata sebutan kes hari ini untuk mendengar permohonan pendakwaan supaya empat tuduhan rasuah dan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram dihadapi bekas Perdana Menteri itu, untuk dibicarakan bersama.

Bagaimanapun, katanya, Mahkamah Tinggi sudah membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan rasuah di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Kami memohon permohonan untuk perbicaraan bersama ditangguhkan terlebih dahulu ke satu tarikh akan datang atas alasan sudah failkan satu notis rayuan pada 15 Ogos lalu, dan hari ini failkan satu petisyen di Mahkamah Rayuan (berkaitan tuduhan rasuah dibatalkan).

“Pengurusan kes di Mahkamah Rayuan ditetapkan pada 27 September ini. Untuk kes pengubahan wang haram dan predikat, kami bersetuju tarikh sebutan (di Mahkamah Sesyen) pada 29 November ini, jika boleh permohonan ini ditetapkan pada tarikh itu,” lapor BH pada Selasa.

Hisyam tidak membantah tarikh sebutan kes itu, namun memohon supaya Muhyiddin dikecualikan kehadiran yang tidak dibantah pendakwaan.

Azura kemudian membenarkan tarikh sebutan kes seterusnya seperti dicadangkan pendakwaan.

“Pihak-pihak (pendakwaan dan pembelaan Muhyiddin) perlu maklumkan hasil pengurusan kes pada 27 September ini sebelum saya benarkan pengecualian kehadiran (Muhyiddin).

“Failkan surat (perkembangan pengurusan kes) dalam sistem,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin, melepas dan membebaskan Presiden BERSATU itu atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan berkenaan.

Muhammad Jamil dilaporkan berkata, ia susulan empat pertuduhan berkenaan tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.

Pada 13 Mac lalu, Muhyiddin, 76, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini, pada 7 Januari 2022.

Pada 10 Mac lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa pula di Mahkamah Sesyen di sini, dengan enam pertuduhan, iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah terbabit dan dua kesalahan pengubahan wang haram RM195 juta.

Kesalahan rasuah dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Muhyiddin juga didakwa menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat