Semua Ketua Syarikat Berkepentingan Kerajaan Akan Diaudit – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) termasuk ahli Badan Kehakiman perlu mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, susulan persetujuan bersama perincian kod etika baru ini akan dibentangkan semula oleh SPRM dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) akan datang.

Selain itu, Ismail Sabri juga memaklumkan mesyuarat JKKMAR turut bersetuju melaksanakan Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) oleh Jabatan Audit Negara (JAN) bagi memperkasa profesionalisme dan menjamin kebebasan peranan Ketua Audit Negara (KAN).

“Pindaan ini adalah melibatkan peruntukan akta bagi menghalang penglibatan Ketua Audit Negara dalam aktiviti atau jawatankuasa perkhidmatan Persekutuan atau perkhidmatan negeri.

“Penglibatan Ketua Audit Negara dibolehkan dalam jawatankuasa di peringkat dasar,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ismail Sabri menyatakan bidang tugas Ketua Audit Negara diperluaskan bagi mengaudit mana-mana badan lain termasuk syarikat yang mempunyai kepentingan kerajaan, tertakluk kepada budi bicaranya.

Selain itu, kata Perdana Menteri mekanisme perisytiharan harta anggota pentadbiran – ahli Dewan Rakyat, ahli Dewan Negara oleh SPRM akan diperkukuhkan bagi memantapkan kredibiliti dan integriti pentadbiran kerajaan.

“Pindaan dan penambahbaikan kod etika bagi anggota pentadbiran adan ahli Parlimen sedia ada akan dilaksanakan.

“Satu kod etika baru akan turut diperkenalkan untuk Ahli Parlimen dalam Akta 347 dengan mengambil kira pengekalan prinsip pengasingan kuasa badan eksekutif dan legislatif,” jelas Perdana Menteri.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, JKKMAR telah membuat ketetapan dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan, menambah baik tadbir urus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ini dengan memperkukuhkan elemen integriti, memberi peluang mobiliti serta meningkatkan aspek pengalaman, akauntabiliti dan kredibiliti bagi mengelakkan risiko gejala rasuah dan salah guna kuasa, kewujudan Little Napoleon di peringkat lapangan dan pusingan kerja yang terhad.

“Justeru, mesyuarat bersetuju agar Jawatankuasa Pertukaran Pegawai PBT diwujudkan di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang akan melaksanakan pertukaran pegawai PBT ke PBT yang lain.

“Melalui jawatankuasa ini, pegawai PBT yang telah berkhidmat di tempat yang sama dalam tempoh yang lama boleh ditukarkan ke PBT yang lain.

“Satu Garis Panduan sebagai rujukan akan dikeluarkan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) bagi membolehkan perkara ini dilaksanakan di semua PBT di seluruh negara,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau mesyuarat juga membuat ketetapan untuk melaksanakan penilaian semula hala tuju Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan peruntukan geran tahunan yang tetap melalui GIACC bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 2023 hingga 2025, bagi tujuan pelaksanaan program pemantapan dan pengukuhan integriti di Malaysia.

“Peranan IIM akan diperkukuhkan berdasarkan tiga fungsi teras utama merangkumi aspek Pendidikan, Advokasi dan Latihan, Penyelidikan dan Penerbitan serta Kerjasama Strategik.

“IIM juga akan diberi peranan melaksanakan Model Perniagaan secara hibrid untuk membantu mengukuhkan integriti sektor awam dan swasta,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri memberitahu mesyuarat turut dimaklumkan mengenai status terkini berkaitan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.

“RUU ini akan dikawal selia oleh sebuah entiti bebas yang dikenali sebagai Pengawal Selia Sumbangan Politik pada peringkat Persekutuan dan Negeri.

“Pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan termasuk parti-parti politik turut diambil kira berkaitan perincian RUU tersebut sebelum dibentang untuk bacaan pertama semasa Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat akan datang,” katanya.

Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan sentiasa komited memantapkan nilai integriti dan memastikan ketelusan tadbir urus negara dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat