PASTI bukan tempat melatih pengganas, tidak pernah ajar kebencian – Pemuda Pas

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Pemuda Pas Terengganu Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi menyangkal dakwaan kononnya Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) digambarkan sebagai tempat melatih bakal “pengganas”.

Adun Sura itu menegaskan, PASTI bukan pusat melatih kebencian sebaliknya, PASTI ialah antara alternatif pendidikan prasekolah berteraskan Islam yang dipilih ramai keluarga, termasuk masyarakat Melayu di bandar yang mahukan pendidikan agama dengan kos yang mampu ditanggung.

“PASTI disebut sebagai “parasit”, malah anak-anak yang belajar di PASTI digambarkan sebagai bakal “pengganas”. Sampai sanggup menyeru supaya semua PASTI diharamkan.

“Sedih. Geram. Dan sangat mengecewakan.

“Di situlah anak-anak kecil belajar al-Quran, solat, doa, adab dengan ibu bapa dan guru bersama asas membaca, menulis dan mengira.

“Kalau ada isu pendaftaran atau pematuhan undang-undang, selesaikan ikut undang-undang. Baiki apa yang kurang. Tetapi jangan kerana benci Pas, sebuah institusi pendidikan dan anak-anak kecil pula dihina serta dilabel dengan bahasa sebegini,” bidas beliau.

Lebih menyedihkan Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, apabila sentimen seperti ini datang daripada kelompok penyokong Pakatan Harapan (PH) yang selama ini lantang bercakap tentang toleransi, keterangkuman dan menolak kebencian.

“Berbeza politik, silakan. Kritik Pas, silakan.

“Tetapi apabila kebencian politik sampai menjadikan Pas sebagai sasaran dan anak-anak kecil dikaitkan dengan “pengganas”, kita patut bertanya: siapa sebenarnya yang sedang menyemai kebencian?

“PASTI sudah mendidik begitu ramai anak bangsa. Jangan kerana politik, pendidikan Islam pula mahu dimusuhi.

“Benci Pas jangan sampai benci PASTI. Benci parti jangan sampai anak-anak menjadi mangsa,” tegasnya.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata demikian mengulas hantaran seorang pengguna Facebook yang mendesak “Kerajaan Selangor wajib mengharamkan semua pusat PASTI sebelum Pas menjadi kerajaan dan ISISkan Selangor”.

Dakwa pengguna Facebook itu lagi, ” Ini kesilapan terbesar kerana membiarkan parasit Pas membiak di Selangor, sekolah haram tidak berdaftar dan tiada kawalan pada sekolah PASTI di Selangor. Akhirnya semakin ramai anak pengganas membesar di Selangor”.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat