Malaysia, Rusia perkukuh kerjasama strategik melalui JC-ESTC Ke -5 catat kemajuan konkrit

Oleh Zihan Zari

VLADIVOSTOK – Malaysia dan Rusia bersetuju untuk memuktamadkan Pelan Tindakan Bersama 2027 pada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) Ke-5, sebelum penghujung tahun ini bagi memastikan kerjasama yang lebih tersusun dan berorientasikan hasil, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Dr. Zambry berkata demikian setelah mempengerusikan bersama mesyuarat itu dengan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, TYT Valery Falkov di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau mesyuarat ini amat signifikan menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Rusia pada tahun 2027.

Menurutnya, berlandaskan momentum hubungan di peringkat tertinggi yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Presiden Rusia, Vladimir Putin; dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, JC-ESTC kali ini memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan hubungan baik kedua-dua negara kepada kerjasama yang lebih konkrit.

Menurutnya lagi, dalam bidang perdagangan, pertanian dan pelaburan, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperluas akses pasaran, memperkukuh kerjasama perdagangan serta meneroka kerjasama bekalan baja termasuk urea bagi menyokong keterjaminan makanan Malaysia.

“Dalam pendidikan tinggi, sains dan pembangunan modal insan, Rusia akan meneruskan tawaran 40 biasiswa Kerajaan Rusia setiap tahun kepada pelajar Malaysia.

“Kedua-dua pihak turut mengalu-alukan cadangan Forum Rektor Malaysia-Rusia pertama pada 2027; pengembangan MAI-UniKL Russian Aerospace Programme; Russia-Malaysia Raw Materials Dialogue; serta inisiatif pembangunan belia melalui Malaysia-Russia Youth Leadership Summer Camp.

“Inisiatif-inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar, ahli akademik dan penyelidik kedua-dua negara untuk membina jaringan kerjasama, ”katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, kerjasama dalam sektor strategik turut diperkukuh meliputi kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, bandar pintar, keselamatan maklumat, telekomunikasi, tenaga boleh baharu, LNG dan LPG, serta penerokaan kerjasama dalam penggunaan tenaga nuklear secara aman tertakluk kepada undang-undang dan keperluan kawal selia kedua-dua negara.

“Kedua-dua pihak turut mencatat kemajuan dalam memperkukuh kewangan Malaysia–Rusia susulan penglibatan Bank Negara Malaysia, Bank of Russia, termasuk meneroka peranan Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa dan pintu masuk ke ASEAN, selain potensi kerjasama dalam kewangan Islam dan aset digital.

“Kerjasama turut diperluas dalam sektor industri, kesihatan, pengangkutan, teknologi hijau, perubahan iklim, ekonomi kreatif dan angkasa,”ujarnya.

Beliau bersama Valery Falkov turut menyaksikan pertukaran tiga perjanjian kerjasama antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia dan Rusia, melibatkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan National Research University ‘Moscow Power Engineering Institute’; UiTM dengan Institute of Experimental Medicine; dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan State University of Land Use Planning.

Tambahnya, kedua-dua negara berharap setiap kesepakatan melalui JC-ESTC ini dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan bermanfaat yang dapat dirasai oleh rakyat kedua-dua belah pihak.

“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Persekutuan Rusia berasaskan prinsip saling menghormati dan manfaat bersama.

“Insya-Allah, momentum ini akan diteruskan apabila Malaysia menjadi tuan rumah JC-ESTC Ke-6 pada tahun 2027, bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia–Rusia, ”tambahnya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat