KUALA LUMPUR – Perbalahan sia-sia antara Pemuda Umno dan DAPSY wajar didamaikan seberapa cepat mulai sekarang sebelum rakyat Malaysia di seluruh negara berasa muak kepada Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengingatkan percakaran antara Pemuda Umno dan DAPSY sesama anggota perti kerajaan akan mencetuskan kesan buruk kepada Kerajaan Madani apabila menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
“Perkara yang banyak membantu Kerajaan Madani pimpinan Anwar setakat ini kerana Kerajaan Madani dilihat sederhana, tidak perkauman, menekankan keadilan sosial untuk semua rakyat seperti yang tersurat dan tersirat dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas RMK-13 iaitu Kerajaan Madani akan memperkenalkan dasar ekonomi yang lebih adil dan inklusif untuk semua rakyat dengan beranjak dari dasar penyelesaian ekonomi berasas kaum kepada penyelesaian ekonomi berasaskan keperluan sebenar rakyat tanpa mengira apa kaum mereka. Tegasnya keadilan untuk semua.
“Resepi politik inilah yang memberikan kelebihan kepada parti-parti pendukung Kerajaan Madani ini akan beroleh kemenangan dan disokong rakyat semua lapisan dalam PRU16 akan datang sekiranya
perbalahan sia-sia antara Pemuda Umno dan Pemuda DAP dapat didamaikan seberapa cepat mulai sekarang sebelum rakyat Malaysia di seluruh negara berasa muak kepada Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Tetapi jika gabungan longgar parti pembangkang berjaya membina naratif politik di peringkat nasional dengan menumpukan isu ekonomi, isu kewangan negara, isu tatakelola pentadbiran kerajaan,isu rasuah di kementerian-kementerian, isu kos sara hidup, cukai dan subsidi di satu pihak manakala Pemuda Umno dan Pemuda DAP berbalah dan berseteru di pihak sesama anggota parti kerajaan maka kesan buruknya akan ditimpa oleh parti-parti Kerajaan Madani pimpinan Anwar bila menghadapi PRU16 akan datang,” nasihat Hassan dalam kenyataan medianya.
Beliau berkata demikian susulan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan parti-parti pembangkang telah berjaya menubuhkan satu gabungan longgar 12 buah parti politik untuk menghadapi pilihan raya umum ke-16.
Ujar Hassan, ini adalah perkembangan yang positif dalam perkembangan demokrasi di Malaysia dalam menghadapi PRU16 yang akan diadakan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.
Kata beliau lagi, gabungan longgar 12 parti pembangkang yang diketuai oleh PN pimpinan Muhyiddin akan berdepan 18 buah parti politik yang mendukung kerajaan Madani di peringkat persekutuan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri sekarang Anwar Ibrahim.
“Kewujudan dua gabungan besar parti politik di mana 12 di pihak pembangkang dan 18 di pihak kerajaan akan mewujudkan suasana yang aman mulai sekarang sehingga pilihan raya Umum yang akan datang.
“Kenapa saya percaya begitu? Sebabnya mudah kerana di dalam 12 gabungan longgar pembangkang sekarang terdapat parti-parti Melayu, Parti Islam, Parti Bumiputera seperti Bersatu, Pas, Pejuang, Putra. Juga terdapat parti pelbagai kaum berasas kaum Cina seperti Parti Gerakan dan parti-parti kaum India seperti Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Parti Perikatan India Muslim Nasional ( Iman) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia ( Urimai). Juga di dalam gabungan parti-parti pembangkang ini terdapat dua parti yang berideologi progresif dan tidak perkauman iaitu Muda dan Parti Sosislis Malaysia ( PSM).
“Dengan gabungan parti-parti pembangkang ini merangkumi semua kaum dan agama maka masing-masing akan meninggalkan retorik dan naratif politik kaum dan agama yang sempit.Semuanya akan memilih untuk mencari jalan tengah yang lebih sederhana dalam pendekatan politik mereka,” jelas wakil rakyat PKR itu lagi.
Manakala katanya, di pihak Kerajaan Madani sekarang ia merupakan sebuah kerajaan pelbagai kaum dan agama yang pertama kali dapat diwujudkan di Malaysia sejak Merdeka.
“Di bawah pimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri yang menjadi Presiden PKR yang pelbagai kaum dan beliau juga menjadi Pengerusi Pakatan Harapan yang merupakan gabungan tiga parti PKR, DAP dan Amanah yang mendukung dasar pelbagai kaum yang berasaskan keadilan telah melalui tempoh hampir tiga tahun sejak November 2022 sebagai kerajaan gabungan pelbagai kaum dan agama yang merangkumi hampir semua parti politik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang mewakili pelbagai kaum dan etnik dan pelbagai agama dari seluruh negara.
“Kekuatan Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan walaupun setakat ini memiliki majoriti lebih dua pertiga di Parlimen tetapi jumlah ahli parlimen pembangkang di parlimen juga besar dan kuat.
“Hanya kelebihan yang ada bagi gabungan parti Kerajaan Madani ialah gabungan mereka lebih mantap dan teruji dalam tempoh hampir tiga tahun ini manakala gabungan 12 parti pembangkang di bawah pimpinan Muhyisdin masih longgar dan di peringkat percubaan lagi,” kata Hassan.



