KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Ibrahim Ali membidas Pemuda Umno kerana hanya berani bersuara dalam isu-isu selamat seperti kes stoking yang tertera kalimah Allah dan bendera terbalik, tetapi membungkam mengenai skandal lebih besar yang melibatkan kerajaan.
Ibrahim berkata, Pemuda Umno yang diterajui ketuanya Datuk Dr Akmal Salleh hari ini, perlu mencontohi keberanian pemimpin terdahulunya seperti Allahyarham Harun Idris dan Syed Jaffar Albar.
“Malangnya, keberanian itu hanya terhad di gelanggang luar kerajaan dengan individu atau sesiapa yang hina Islam, Melayu dan kedaulatan negara seperti pasang bendera terbalik.
“Dalam isu besar seperti integriti kerajaan, rasuah, keadilan, ekonomi rakyat, Pemuda Umno membisu,” katanya dalam kenyataan lapor Malaysiakini.
Ibrahim seterusnya membangkitkan beberapa isu utama yang menurutnya patut diperjuangkan Pemuda Umno.
Antaranya – Skandal LCS RM11 bilion di mana “kapal satu pun belum siap dan jerung politik atau orang-orang kebal kenyang”; tunggakan pencen RM1.7 bilion pesara tentera yang masih dinafikan walaupun mahkamah telah memutuskan.
“Begitu juga soal rasuah, kronisme dan salah guna kuasa yang menurutnya ‘membunuh demokrasi dan ekonomi rakyat terhimpit, gaji tidak naik, cukai semakin bertambah.
“Isu bekas pegawai Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak jadi ‘bilionair segera’ sedangkan rakyat susah dan gerai dan tanah Melayu diroboh, manakala orang kecil dilayan seperti penjenayah.
“Selain itu, isu reformasi institusi seperti naik taraf mahkamah syariah, pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta meletakkan SPRM bawah Parlimen yang masih tergantung,” saran Ibrahim.
Beliau turut menyebut isu subsidi, dasar pendidikan, serta kes-kes mahkamah yang didakwa bercanggah dengan perlembagaan dan mengabaikan keadilan rakyat.
“Peranan sebenar Pemuda Umno bukan isu seperti KK Mart atau bendera yang sepatutnya boleh diserahkan pada NGO untuk bertindak.
“Pemuda sepatutnya jadi semak imbang kerajaan sendiri, berani menegur dan mendesak kerajaan seperti Pemuda Pendesak atau Air Halia dan bukan sekadar jadi kucing jinak dan menerkam tikus-tikus jahat di luar rumah,” katanya.
Tokoh politik veteran itu turut mengingatkan bahawa sejarah akan membezakan pemimpin yang hanya berani memainkan isu popular berbanding mereka yang benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Pemimpin berani di medan sebenar akan dikenang sepanjang sejarah.
“Saya tidak apologetik dan rasa bersalah. Niat baik dan ikhlas,” katanya lagi.



