Geran bukti filem Malaysia mampu bersaing – Saifuddin Abdullah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan kejayaan Geran yang meraih Anugerah Daniel A Craft pada Festival Filem Asia New York (NYAFF) Ke-19 membuktikan industri perfileman negara mampu bersaing dan setaraf dengan filem terbaik Asia.

Saifuddin berkata, pencapaian membanggakan itu mencerminkan keupayaan dan aspirasi industri perfileman negara ke arah sasaran ‘Road to Oscars’, iaitu matlamat membawa filem tempatan bersaing di pentas berprestij Anugerah Akademi.

Areel (tiga dari kiri) bersama sebahagian pelakon filem Geran termasuk Namron (kiri). Foto Ihsan Layar Pictures
Areel (tiga dari kiri) bersama sebahagian pelakon filem Geran termasuk Namron (kiri). Foto Ihsan Layar Pictures

“Ini seiring dengan rangka kerja dan hala tuju FINAS dalam memastikan sasaran ‘Road To Oscars’ menjadi suatu realiti dalam tempoh jangka masa yang panjang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BERNAMA melaporkan, filem aksi persilatan, Geran terbitan Layar Pictures dinobatkan sebagai penerima Anugerah Daniel A Craft pada NYAFF Ke-19 di atas kecemerlangannya dalam filem aksi.

EasternKicks.com yang juga media rasmi NYAFF melaporkan kemenangan itu meletakkan pengarah filem Geran, Areel Abu Bakar setaraf dengan sutradara Dante Lam yang menghasilkan filem Operation Red Sea; Yue Song (The Bodyguard) dan Jung Byung-gil (The Villaines) yang memenangi anugerah kecemerlangan filem aksi itu, sebelum ini.

Filem yang mengangkat seni persilatan Gayong Pusaka dengan tema kekeluargaan dan persaudaraan itu antara lain menampilkan pelakon, Namron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Azlan Komeng (koreografer aksi silat) dan Megat Shahrizal.

Saifuddin berkata, usaha perlu diteruskan dalam memartabatkan industri perfileman di peringkat antarabangsa.

NYAFF yang akan bersiaran dalam talian melalui aplikasi Smart Cinema dari 28 Ogos hingga 12 September 2020, adalah festival filem berprestij di Amerika Syarikat yang mengangkat pembangunan seni dan budaya melalui jaringan sinema dunia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat