SPRM Tahan Dua Individu Termasuk Pegawai Kanan MBI Kedah Bantu Siasatan Kes Rasuah RM13 Juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata kedua-dua suspek yang berusia 63 dan 40 tahun itu direman tiga hari hingga 21 Julai ini selepas ditahan semalam di sekitar Alor Setar, Kedah serta ibu negara.

Perintah tahanan reman kedua-dua individu dikeluarkan oleh Majistret Wan Shahida Abd Rahim di Alor Setar dan Majistret Norsyakirah Che Hashim di Shah Alam.

Menurut sumber, syarikat terbabit dipercayai telah menjalankan aktiviti perlombongan itu secara haram sejak 2020 dan mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu.

“Siasatan yang dijalankan berjaya mengesan beberapa pembayaran disyaki rasuah berjumlah lebih RM13 juta yang diberikan oleh syarikat terbabit sebagai sogokan bagi melindungi kegiatan itu dalam tempoh 2020 hingga 2023,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata syarikat milik wanita itu juga dipercayai telah mendapat kelulusan sejak 2016 bagi menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen di Kedah dengan menanam semula pokok-pokok getah klon balak.

“Selain itu, syarikat yang sama telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi menjalankan aktiviti perlombongan REE dalam kompartmen sama pada 2020,” katanya.

Bagaimanapun, katanya setakat ini tiada kelulusan diberikan oleh kerajaan negeri berhubung permohonan syarikat tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 serta Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat