KUALA LUMPUR – Kerajaan berbelanja lebih daripada RM77 bilion untuk pemberian subsidi bagi memastikan rakyat tidak terkesan teruk akibat kenaikan harga barang yang berlaku di seluruh dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, inflasi di Malaysia kekal rendah iaitu pada kadar 2.8 peratus sahaja berbanding dengan negara lain.

“Saya beri contoh kesan positif daripada subsidi kita, yang menyebabkan inflasi kita kekal rendah.

“Paling rendah di Asia Tenggara dan juga mungkin di seluruh dunia.

“Inflasi kita kekal pada 2.8 peratus dan jika subsidi tidak diberikan, inflasi mungkin meningkat kepada 8 hingga 11 peratus,” kata Ismail Sabri, semalam.

Beliau berkata, pemberian subsidi mampu mengurangkan inflasi yang menekan rakyat.

“Saya bandingkan dengan negara lain, negara jiran kita Thailand 7.7 peratus, Singapura 5.6 peratus, Indonesia 4.40 peratus.

“Negara lain iaitu United Kingdom 9.1 peratus, USA 9.1 peratus dan EU 8.6 peratus.

“Maknanya Kerajaan berbelanja lebih daripada RM77 bilion bagi memastikan rakyat tidak terkesan teruk akibat daripada kenaikan harga barang yang berlaku di seluruh dunia,” ujar beliau.